BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, July 17, 2014

KAMPUNG PARIT JERMAN BAKAL JADI TARIKAN PELANCONG

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor akan meninjau potensi yang ada di Kampung Parit Jerman di Pontian untuk dipromosikan sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata usaha itu bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Pontian dan negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama-sama media dan agensi pelancongan anjuran Jabatan Pelancongan Johor, Pejabat Kementerian  Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Johor dan Tourism Malaysia di sini malam tadi.

Kampung Parit Jerman kini menjadi bualan ramai termasuk di laman sosial ekoran kemenangan pasukan Jerman mengalahkan Brazil 7-1 pada saingan separuh akhir Piala Dunia 2014 baru-baru ini dan muncul juara Piala Dunia semalam.

Asal-usul nama Parit Jerman dikatakan bermula apabila terdapat penempatan satu kelompok bangsa Jerman yang mengusahakan ladang pertanian dan mengeluarkan hasil pertanian melalui sungai di kawasan itu.     
 
Dikatakan terdapat kesan batu bata dan tangga batu yang dianggap penduduk setempat terutama generasi tua sebagai bukti adanya aktiviti perdagangan dan peninggalan askar Jerman pada Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan, Tee meminta semua pihak menjalin kerjasama berterusan bagi merealisasikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

Beliau berkata Johor kini semakin dikenali ramai apabila kedatangan pelancong ke negeri ini direkodkan seramai 5.7 juta tahun lepas berbanding 3.9 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, daripada 5.7 juta itu, seramai 2.6 juta merupakan pelancong antarabangsa.

"Jumlah peningkatan pelancong ini meletakkan Johor berada pada kedudukan ketiga bagi jumlah keseluruhan kemasukan pelancong di negara ini. Jumlah kedatangan pelancong antarabangsa seramai 2.6 juta orang itu pula meletakkan Johor berada pada kedudukan kedua selepas Kuala Lumpur," katanya.

No comments:

Post a Comment