BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, July 1, 2014

PUASA DAN RISIKO DIABETES

Amalan berpuasa mempunyai risiko tertentu bagi pesakit diabetes yang beragama Islam. Kajian menunjukkan kejadian hipoglisemia yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes melitus jenis 2 (T2DM) nyata lebih kerap berlaku pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan lain.
Hasil kajian Epidemiologi Diabetes dan Ramadan berasaskan populasi tahun 1422/2001 (EPIDIAR), menunjukkan 43 peratus pesakit diabetes jenis 1 dan 79 peratus pesakit diabetes jenis 2 dari 13 negara Islam, berpuasa pada bulan Ramadan. Ini menjadikan lebih 50 juta pesakit diabetes di seluruh dunia berpuasa pada bulan tersebut.
Saranan Pengurusan Diabetes oleh Persatuan Diabetes Amerika Syarikat (ADA) menyatakan bahawa aras gula darah pesakit diabetes jenis 2 sepatutnya kerap diawasi pada bulan Ramadan supaya dapat mengurangkan risiko berlakunya hipoglisemia.
Hipoglisemia, atau tekanan darah rendah, mungkin menjadi masalah yang dihadapi oleh pesakit diabetes yang berpuasa. Hipoglisemia berlaku apabila aras glukosa di dalam darah menurun sehingga menjadi terlalu rendah bagi keperluan tubuh.
Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, pesakit diabetes jenis 2 yang ingin berpuasa hendaklah membuat persediaan yang rapi sebelum menjelang bulan Ramadan.
“Ini termasuk penilaian perubatan, rundingan dengan pakar kesihatan tentang gerak kerja jasmani, perancangan makanan, pengawasan glukosa, serta dos dan jadual pengambilan ubat.

“Persediaan mestilah dimulakan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan sebelum bulan Ramadan.
“Pesakit diabetes yang berpuasa tidak mengambil makanan, minuman dan ubatan sebelum fajar hinggalah waktu matahari terbenam dan ini boleh menyebabkan hipoglisemia apabila aras gula darah menurun.
Bagi pesakit, kurang makan dan senam, serta tidak mengambil sesetengah jenis ubat diabetes, adalah faktor risiko yang diketahui menyebabkan hipoglisemia.
“Jika tidak dirawat dengan segera, hipoglisemia boleh mengakibatkan masalah perubatan yang serius seperti keadaan tidak sedar dan sawan, yang memerlukan rawatan kecemasan," katanya lagi.
Dr. Nor Azmi berkata, sebagai langkah dan persediaan awal untuk berpuasa pesakit diabetes boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.
“Kebiasaannya pesakit mengambil dua dos ubat setiap hari, iaitu dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.
“Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.
Beliau menjelaskan, dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil pada waktu itu.
Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka puasa memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis.
Aplikasi mudah alih
Sementara itu, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk menyokong pesakit diabetes yang ingin berpuasa, MSD, syarikat perkhidmatan penjagaan kesihatan, telah melancarkan beberapa aplikasi pintar khusus untuk bulan Ramadan.
Antaranya ialah resipi-resipi yang kreatif untuk pesakit diabetes, laman mikro yang memaparkan bahan-bahan kempen bulan Ramadan oleh Msd, dam aplikasi mudah alih Apple yang terkini.
Selain itu turut diperkenalkan kit maklumat yang bertajuk, Fakta-fakta Tentang Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan, bagi membantu pesakit diabetes jenis 2 menguruskan aras gula dalam darah m dengan lebih baik.
Pengarah Perubatan MSD, Dr. Yeoh Boon Hock, berkata pihaknya ingin menggalakkan pesakit diabetes menguruskan penyakit mereka dengan baik terutama pada bulan puasa.
“MSD ingin mengupayakan pesakit diabetes supaya dapat menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik, terutama bagi mereka yang ingin berpuasa pada bulan Ramadan.
"Memandangkan pemakanan seimbang penting bagi pengurusan diabetes, MSD mengambil khidmat seorang pakar diet dari Australia, Sandra Mikhail bagi menghasilkan beberapa resipi untuk pesakit diabetes.

“Selain resipi yang berkhasiat, kami juga telah mengemaskinikan aplikasi mudah alih Apple yang diberi nama, Bulan Ramadan, Diabetes dan Saya dan risalah kit maklumat
"Bagi memudahkan pesakit dan pakar kesihatan mendapatkan semua bahan kempen bulan Ramadan pula, sebuah laman mikro (www.factsaboutfasting.com) juga diaktifkan. Kami berharap alat-alat maklumat pintar ini dapat menambahkan ilmu dan menyediakan sokongan masa nyata untuk pesakit diabetes," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi dan kit maklumat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Aplikasi mudah alih Apple tersebut, mengandungi maklumat penting tentang bulan Ramadan, seperti waktu matahari terbit dan waktu matahari terbenam serta waktu solat, yang disesuaikan mengikut lokasi pengguna, selain kompas bagi menentukan arah kiblat.
Aplikasi ini juga mengandungi penjejak gula darah yang memudahkan laporan dihantar kepada pengamal kesihatan. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui Malaysian App Store.

No comments:

Post a Comment