BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, July 15, 2014

NASI AMBENG RIVERSTONE ECO RESORT-JLN. SUNGAI TUA, BT. CAVE


MENERUSKAN tradisi berbuka puasa di tengah rimba yang tenang dan mendamaikan, restoran D’River di Riverstone Eco Resort, menawarkan sebanyak 45 jenis hidangan termasuk masakan Jawa yang popular, nasi ambeng.
Antara sajian masyarakat Jawa yang tidak pernah dilupakan adalah nasi ambeng, pecel, kuih-muih seperti tiwol, pisang godog (rebus) dan ubi godog.
Selain itu, urap kecipir, tempe goreng bawang putih serta minuman istimewa wedang serey turut dihidangkan.
Pengarah Urusannya, Mohd. Ashari Sidik, berkata, sajian nasi ambeng di resort itu memang menjadi sebutan ramai, apatah lagi ia dihidangkan di dalam talam.
"Secara tradisinya, nasi ambeng dihidangkan di dalam talam dan dimakan antara empat hingga lima orang.
"Bagi yang tidak biasa menikmati nasi ambeng di dalam talam, mereka boleh meminta kami menyediakan pinggan," katanya lagi.
Mengulas rahsia masakan yang disajikan enak dan cukup ramuannya, Mohd. Ashari memberitahu, pihaknya menggunakan bahan segar dan berkualiti dalam setiap masakan.
Selain itu, semua sajian yang disediakan itu dimasak sendiri oleh isterinya, Hamidah Asararuddin.
"Bukan tak percaya pada pekerja tetapi, masakan daripada ‘air tangan’ isteri saya memang dijamin enak dan mampu membangkitkan selera," tambahnya.
Bagi yang tidak kenal sajian nasi ambeng, ia terdiri daripada satu set masakan yang terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mi goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.
Resort ini terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Cara mudah ke sana adalah mengikut jalan raya menuju ke Hulu Yam dari Batu Caves.
Sebaik sahaja melepasi Empangan Batu, belok ke kiri jalan menuju ke resort yang terletak di tepi sungai dan dikelilingi hutan menghijau.
Konsep restoran terbuka membuatkan sesiapa sahaja yang berbuka puasa di sini berasa nyaman tatkala hembusan bayu tasik dari empangan bersebelahan bertiup ke arah restoran.
Selain itu, irama semula jadi daripada unggas hutan yang memecah keheningan malam turut menjadikan pengalaman berbuka puasa di resort ini sukar untuk dilupakan.
Dalam pada itu, sebagai pelengkap hidangan yang pelbagai, resort ini juga menyajikan masakan Melayu termasuk patin tempoyak.
"Ikan patin yang digunakan tidak berbau hanyir dan kami hanya menggunakan tempoyak baharu untuk menyediakannya," ujarnya.
Antara menu lain adalah soto ayam, asam pedas dan kerabu kacang botor, manakala kuih muih pula adalah sagu gula Melaka, bubur kacang hijau, pengat pisang, selain minuman teh tarik.
Kemudahan surau turut disediakan, manakala bufet Ramadan tahun ini bermula dari 3 Julai sehingga 26 Julai dari pukul 6.30 petang sehingga 9 malam.
Harga dewasa adalah RM40 dan kanak-kanak RM22.

No comments:

Post a Comment