BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, July 1, 2014

MEREBUT TAWARAN RAMADHAN

SEDARKAH anda bahawa apabila tibanya Ramadan, umat Islam di negara ini dihambat dengan pelbagai tawaran? Cuba perhatikan di sekeliling anda. Tawaran jualan murah ada di merata tempat. Daripada makanan dan pakaian hinggalah kepada barangan perhiasan.

Tidak ketinggalan iklan-iklan perabot kediaman. Tawaran-tawaran penurunan harga dan kadar faedah pembelian kereta untuk mereka yang mahu menukar kereta sempena musim perayaan juga tidak kurang hebatnya.

Jangan pula dilupa tawaran-tawaran berbuka puasa di restoran mewah yang kadang kala mencecah ratusan ringgit.

Bagi tujuan itu juga, tawaran-tawaran pinjaman peribadi turut meriah diiklankan.

Ini kerana jika mahu merebut tawaran-tawaran tadi maka pastinya memerlukan sejumlah wang tertentu.

Apabila melihat tawaran-tawaran yang disediakan ini maka timbul beberapa persoalan yang perlu dicari jawapannya. Pertama, adakah bulan Ramadan, amalan puasa malah sambutan Aidilfitri nanti hanya berkaitan dengan pakaian, kereta, perabot serta makanan?

Adakah tawaran-tawaran itu yang kita kejar sempena Ramadan yang mulia ini? Apakah ini kefahaman masyarakat Muslim terhadap Ramadan? Atau, apakah ini kefahaman cuba dipaksakan ke atas masyarakat Muslim kini? Sedarkah masyarakat Islam kini hakikat sebenar Ramadan itu?

Sebenarnya, membuat persediaan Aidilfitri di bulan Ramadan tidak salah, asalkan kita berpegang teguh kepada kesederhanaan dalam usaha itu.

Malah, yang lebih utama ialah persediaan itu tidak menghakis makna sebenar Ramadan. Jangan kita terlalu ghairah membuat persediaan Aidilfitri sehingga kita lupa bahawa ALLAH SWT menyediakan tawaran lebih hebat di bulan Ramadan ini.

Malah, sesungguhnya tawaran ALLAH SWT itu terlalu luar biasa dan amatlah rugi bagi kita yang lalai dan gagal merebutnya.

Untuk memahami “tawaran” yang disebut tadi, seharusnya hadis Rasulullah SAW dirujuk. Antara hadis tersebut ialah daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis.” (HR Bukhari dan Muslim).

Malah mengerjakan amal ibadat dalam bulan Ramadan mempunyai keistimewaan tersendiri sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang sunat tarawih dan ibadat-ibadat yang lain pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan untuk mendapat keredaan ALLAH, maka akan diampunkan dosa-dosanya (dosa kecil) yang telah lepas” (HR Bukhari dan Muslim).

Jelas, betapa hebatnya bulan Ramadan. Oleh itu, beruntunglah umat Islam yang berjaya merebut pelbagai ganjaran pahala di bulan ini terutamanya bagi mereka yang tekun mengerjakan pelbagai amalan wajib dan sunat serta berjaya menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang-Nya.

Seharusnyalah umat Islam berlumba-lumba merebut pelbagai tawaran kebaikan yang dihidangkan di bulan Ramadan.

Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, menambah amalan-amalan sunat, meningkatkan kesabaran dan sebagainya.

Dalam pada itu, bulan Ramadan juga menjanjikan tawaran hebat kepada kesihatan manusia kerana ketika inilah perut dapat berehat setelah bekerja keras sepanjang tahun.

Tidak ketinggalan juga, pada bulan ini kita berpeluang memperbaiki hubungan sesama manusia dengan berzakat, bersedekah, mengunjungi ibu bapa di kampung agar dapat berbuka bersama dan sebagainya. Dengan itu, wajarlah umat Islam merebut ganjaran kebaikan di bulan yang mulia ini.

Walaupun terdapat pelbagai tawaran kebaikan dalam bulan Ramadan ini, namun pada akhirnya tawaran terhebat adalah agar umat Islam menjadi lebih bertakwa. Itulah matlamat tertinggi sepanjang bulan Ramadan.

Ini jelas dinyatakan di dalam ayat 183, Surah al-Baqarah (2), yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Hakikatnya, Ramadan adalah bulan tarbiah iaitu satu bulan yang melatih kita untuk mempertingkatkan ketakwaan. Semoga dengan berakhirnya Ramadan ini nanti, kita semua akan menjadi hamba yang lebih bertakwa.

No comments:

Post a Comment