Terletak di Jalan Sultan Iskandar, pekan lama Ipoh, Perak, restoran yang baru dibuka pada November tahun lalu ini juga memiliki dekorasi dan perincian hiasan dalaman yang tersendiri.

Berlatarbelakangkan cat dinding berwarna biru turqoise, sebuah grafiti indah yang dilakar oleh seorang artis muda, Irasdean membangkitkan lagi kehalusan seni yang turut ditampung dengan pencahayaan sesuai, menjadikan konsep ‘cozy' restoran ini kena dengan pemasangan sistem pendingin hawanya.
Pemiliknya, Raja Khairi Ehsan Raja Norddin, 28, yang berkecimpung dalam dunia pengurusan acara dan pembekalan sistem audio muzik, memilih untuk membuka restoran kerana minatnya terhadap makanan dengan rasa autentik.
Justeru, tidak hairanlah persembahan hidangan di restoran ini turut dititikberatkan. Malah, pilihan 40 menu makanan dan minumannya dibuat dengan mengambil kira cita rasa tempatan dan juga antarabangsa.
Bermula daripada hidangan pembuka selera seperti nachos, bebola daging, sup cendawan, kentang goreng dan kentang racik, restoran ini juga menyediakan menu istimewa dari negara Turki iaitu shakshouka.

Menurut Raja Khairi, shakshouka yang dihidang bersama sos bolognese, tomato dan sos buatan sendiri termasuk serbuk cili itu dimakan bersama roti dan telur separuh masak.
Dalam pada itu, katanya, antara menu istimewa lain yang disajikan di House Restaurant ialah fried soft shell crab iaitu hidangan ketam lembut goreng, Jawa spicy chicken chilli (ayam goreng kering lemak pedas) dan house seafood tom yam yang turut menghidangkan ketam, lala dan udang dengan resipi asli masakan Thailand sebenar.

“Bekalan ketam lembut segar ini diperoleh dari Pantai Remis dan Kuala Kurau,” kata Raja Khairi yang memberitahu restorannya turut dikunjungi pelancong asing dan pelanggan Cina.
Bagi mereka yang inginkan makanan bersama set nasi putih, beberapa pilihan menu ditawarkan seperti ikan pari asam pedas, kari ikan bawal goreng, sambal tumis udang petai, ketam atau udang masak lemak dan ikan dori masak masam manis.
Hidangan tersebut juga boleh dipilih secara ‘ala carte', selain sayur campur, kangkung belacan dan telur dadar bersama menu tambahan seperti tom yam ayam.

“Bagi yang gemarkan makanan bergoreng, kita juga menawarkan beberapa pilihan seperti nasi goreng Cina, nasi goreng kampung istimewa, nasi goreng Thai dan nasi goreng gunung berapi yang dihidang bersama udang harimau dan sos buatan sendiri,” katanya.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasai menu hidangan barat seperti chicken chop, lamb chop, grilled salmon, fish and chips, burger dan hotdog, selain pelbagai jenis pasta termasuk aglio olio, carbonara, bolognese, bebola daging dan cheezy macaroni.
Tidak ketinggalan, turut disajikan ialah minuman panas dan sejuk termasuk jus buah-buahan dan floats (Coca cola, root beer, strawberi, ice cream soda dan sprite).
Manakala di kaunter, para pelanggan boleh memilih untuk menikmati brownies, pavlova, macaroon atau cheese parfait yang diletakkan di situ untuk mudah dipilih.
“Bagi yang ingin menganjurkan parti hari jadi atau majlis pertemuan semula serta seminar, kita juga mempunyai ruang makan di tingkat atas yang boleh memuatkan sehingga 60 orang dalam satu masa,” katanya.