BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, March 2, 2015

RESTORAN GOBANG MAJU-SETAPAK KL

Kepala patin gulai tempoyak.
Kaya dengan khasiat tersendiri, ikan patin Sungai Pahang adalah antara menu masakan yang mempunyai identitinya tersendiri.
Apatah lagi jika dimasak dengan resepi tradisi turun-temurun. Sebab itu tidak menghairankan kebanyakan kedai yang menghidangnya senantiasa dipenuhi oleh penggemar ikan ini.
Untuk itu bagi peminat ikan patin masak tempoyak yang dahulunya hanya boleh didapati di sekitar daerah Temerloh, Pahang kini mereka boleh menikmatinya di ibu kota.
Restoran Gobang Maju yang telah membuka cawangan pertamanya di Taman Seri Rampai, Setapak sedia menerima pengunjung terutama peminat masakan asli negeri Pahang.
Dibuka sejak penghujung November lalu, restoran ini menyediakan sajian masakan gulai patin tempoyak yang menjanjikan satu kepuasan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.
Menurut Pengurus Restoran Gobang Maju, Muhamad Rizal Muhamad Rosely, beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam industri sajian makanan menyifatkan pembukaan cawangan ini adalah sesuatu yang amat istimewa.
“Tujuan utama pembukaan cawangan ini adalah untuk memudahkan pelanggan menikmati masakan (patin tempoyak) tanpa perlu keluar dari Kuala Lumpur selain tergesa-gesa kerana mengejar masa.
“Saya akui ada pelanggan kebanyakannya datang dari luar Temerloh semata-mata untuk menikmati hidangan ini”, jelasnya.
Restoran pertama mereka di Temerloh sudah beroperasi selama empat tahun sebelum membuka cawangan di sini.
Malah chef utama, Farhan Marzuki didatangkan khas dari Temerloh dan mampu menyediakan masakan panas bermula dari pukul 11 pagi sehingga waktu tamat operasi sekitar 11 malam.
Muhamad Rizal menambah, keistimewaan masakan ikan patin tempoyak ini menggunakan bahan-bahan segar yang dibawa khusus dari Pahang tanpa sedikit pun mengubah cita rasa sebagaimana restoran miliknya yang pertama.
Mengakui bahawa ikan patin mempunyai beberapa spesies tetapi beliau membawa ikan patin dari sangkar ternakan di Sungai Pahang.
“Saya tidak menafikan bahawa patin adalah spesies liar dan ada juga diternak di dalam kolam tetapi apa yang saya sajikan adalah patin bersaiz sama.
“Tujuannya bagi memastikan setiap hidangan mempunyai rasa yang sama selain memudahkan urusan penetapan harga jualan” jelas Rizal.
Restoran Gobang Maju boleh menempatkan seramai kira-kira 200 pelanggan pada satu-satu masa di waktu siang. Manakala sebelah malamnya pula bertambah sehingga 250 orang.
Persekitaran kawasan restoran juga luas dan cukup selesa lengkap kemudahan surau serta ruang lot tempat letak kereta.
Selain masakan gulai patin tempoyak, pelanggan juga boleh memilih paih patin bakar atau talapia yang dihidangkan dengan tempoyak.
Gulai daging, udang, ayam goreng berempah, keli goreng, kembung, kerisi adalah antara makanan lain yang disediakan selain pelbagai pilihan ulam-ulam segar dan sayur goreng. Dalam pada itu, Restoran Gobang Maju juga menjual tempoyak segar yang dibawa terus dari Temerloh.
Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh dibuat menerusi telefon 019-9569696/019-9625445.

Saturday, February 28, 2015

RESTORAN GOLEK-GOLEK-GOMBAK KL

Tinggal di kota raya yang berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit dan mengadap ‘hutan batu’ setiap hari malah terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas setiap hari, pasti memberi tekanan.
Namun, hujung minggu anda pasti menenangkan jika berkunjung dan menjamu selera di sebuah restoran yang terletak di pinggir Gombak.
Bukan sahaja menawarkan pemandangan mendamaikan malah sajian yang disediakan juga pasti mengubat kerinduan masakan emak di kampung terutama bagi mereka yang gemarkan makanan pedas.
Menu gulai lemak cili udang galah, ikan bakar sambal petai, sotong bakar sambal, gulai lemak ikan keli salai, sotong mentega goreng telur masin, lala kam heong, ketam masak cili, sambal terung ikan masin dan sayur bakar sambal (bendi, kacang botol dan petai) antara sajian yang dihidangkan di Restoran Golek-Golek.
Pemilihan sajian ala kampung oleh pemilik restoran, amat bertepatan apabila lokasinya yang sedikit di dalam hutan serta terlindung daripada kebisingan enjin kenderaan dan hiruk-pikuk bandar, menjadikan suasana di restoran amat mendamaikan.
Walaupun perlu mendaki bukit tinggi dengan kecuraman 40 darjah, hati jadi lega setibanya di pintu masuk restoran yang dibina di atas tanah seluas 0.6 hektar.
Pandangan serta merta terpaku dengan suasana di restoran yang seolah berada di laman-laman rumah di kampung.
Itu baharu sahaja gambaran di luarnya, jika menjengah masuk ke dalam kawasan restoran sesiapa sahaja pasti berasa seperti di kampung halaman sendiri dengan sebuah rumah tradisional Melaka tersergam indah dibina di tengah-tengah kawasan restoran tersebut.
Persekitarannya yang dikelilingi pohon-pohon rendang, struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu serta batu-bata, selain bahan-bahan pakai dan terbuang yang memberi satu kelainan.
Menurut pemiliknya, Norhayati Mohd. Fauzi, 36, dia mengusahakan restoran itu bersama suami dan beberapa ahli keluarganya yang lain sejak lebih tiga tahun lalu.
Bermula dengan hanya mengajak teman-teman rapat menjamu selera pada hujung minggu, Norhayati tidak menyangka restoran yang diusahakan itu mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun dibuka sekadar suka-suka.
Pada awalnya, tidak banyak pilihan menu dihidangkan kepada pelanggan kerana hanya menyediakan menu yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga, seperti ikan bakar tiga sambal dan gulai lemak udang galah, malah hanya dibuka pada tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 6 petang hingga 12 malam.
“Saya tidak menghebohkan tentang restoran ini kerana bimbang ramai orang akan datang sedangkan waktu itu hanya saya yang memasak dan adik-adik membantu.
“Menu juga hanya ada beberapa jenis sahaja, iaitu apa yang menjadi kegemaran kami sekeluarga dan operasi kami bermula pada bulan puasa ketika itu,” katanya.
Bermula dengan hanya ruang makan yang terhad, kini restoran itu mampu memuatkan kira-kira 300 pelanggan pada satu-satu masa dengan terdapat beberapa pilihan ruang makan yang disediakan, antaranya di pondok, anjung, grand ballroom lobi, calet, rumah pokok, kawasan terbuka dan dewan.
Menurut Norhayati, paling mendapat perhatian ialah menjamu selera di rumah tradisional Melaka yang berusia ratusan tahun, menyediakan ruang makan klasik dengan berlatarbelakangkan seperti di rumah kampung.
Mata pasti akan terarah pada hiasan lama seperti tempayan, congkak, replika kapal serta bingkai-bingkai gambar lama, malah jeriji besi bercorak bunga sangat membangkitkan suasana rumah lama itu.
Menurut Norhayati rumah itu dibeli oleh suaminya yang merupakan novelis terkenal, Ahadiat Akashah, dari Melaka dan dibawa ke situ yang kemudian dipasang semula oleh lebih 20 orang.
“Suami saya sangat gemarkan barang-barang antik dan ketika memasang rumah ini yang menggunakan pasak bukan mudah.
“Namun, selepas siap dipasang hasilnya sangat memuaskan hati, malah tangga rumah tradisional ini sering menjadi tumpuan pengunjung untuk mengabdikan kenangan,” katanya.
Menurut Norhayati, lebih 25 jenis sajian disediakan di restoran berkenaan yang mana kesemuanya disediakan sendiri, malah resipinya juga diolah istimewa.
Tidak mengambil mudah serta mahu pelanggan menikmati hidangan yang enak dan segar, dia memberitahu akan menyediakan semua bahan-bahan masakan sendiri setiap hari dengan bekalan ikan dan makanan laut segar diambil khas daripada pembekal.
“Di sini kita hanya menggunakan tiga jenis ikan bakar iaitu siakap, sebelah nabi dan pari manakala untuk makanan laut kita sediakan sotong, udang, lala, ketam dan kerang.
“Kita membakar guna arang dan tiga jenis sambal akan diletakkan di atas setiap sajian yang mana resipi khas saya cipta sendiri. Sajian ini yang paling digemari pelanggan kerana rasanya yang unik dan paling penting menepati lidah penggemar makanan pedas,” akuinya.
Selain itu hidangan paling istimewa pula ialah masak lemak cili api keli salai yang mana Norhayati memaklumkan ikan keli itu disalai sendiri oleh suaminya yang mengambil masa tiga hingga empat jam sehari dan bukannya dibeli siap daripada mana-mana kedai.
“Suami saya amat cerewet daripada segi rasa sebab itu dia menyalai ikan itu sendiri walaupun terpaksa meluangkan banyak masa di dapur untuk membuat kerja-kerja salai itu sendirian, namun rasanya amat sedap.
“Dari segi harga pula, makanan bermula serendah RM6 sehingga RM38 sepinggan mengikut sajian satu pinggan termasuk makanan laut dan ikan,” katanya.
Pun begitu, bagi memberi pilihan kepada pengunjung, tidak hanya menyediakan hidangan ala kampung, Restoran Golek-Golek turut menghidangkan variasi makanan barat seperti beef steek, lamb chop, burger dan fish n chip bagi mereka yang mahukan pilihan berbeza.
Bagi pilihan minuman pula, air jus kedondong antara minuman istimewa yang ditawarkan kepada pelanggan yang disediakan di dalam gelas besar atau jag.
Selain ruang makan yang selesa terdapat kemudahan lain disediakan seperti surau dan tandas, selain ruang santai.
Pada waktu malam pula, kawasan tersebut dikelilingi cahaya lampu kuning sangat indah, sesuai untuk diadakan lokasi bagi majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, perjumpaan dan acara-acara istimewa bersama rakan-rakan atau insan tersayang.
Bagi mereka yang ingin menempah atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Norhayati di talian 017-407 007) atau layari di Facebook Restoran Golek-Golek Suasana Kampung serta boleh terus berkunjung terus di Lot 2074, Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Kilometer 10, Kampung Gombak Tambahan, Gombak.

Thursday, February 26, 2015

DAPUR APAM BALIK

Apam balik atau juga dikenali sebagai apom balik, merupakan sejenis kuih tradisional yang sesuai dimakan pada waktu pagi dan petang secara bersantai. Ia merupakan sejenis kuih apam berkulit tebal yang dibakar dengan lapisan mentega dan ditaburi inti kacang dan jagung di atasnya dan kemudian dilipat dua.
Bahan tepungnya dicampur dengan air soda dan serbuk penaik ibu roti, dimasak di atas belanga tembaga dan dimaniskan dengan taburan gula kasar, kisaran kacang tanah goreng, mentega dan bahan penambah perisa lain yang sesuai.
Kini perusahaan apam balik mini sedang meningkat maju dengan inovasinya yang sangat menarik, terdapat ramai pengusaha apam balik muncul dengan cita rasa masing masing. Tahukah anda? Apam balik mini sebenarnya dapat memberikan pulangan yang besar jika kita mengolah, berinovasi dan sungguh-sungguh menjalankan perniagaan ini.
Dapur apam balik sememangnya mudah untuk didapati di pasaran luar tetapi ramai yang tahu bahawa dapur apam balik yang jual itu semuanya menggunakan konsep dapur gas dan tidak sesuai untuk jualan di dalam bangunan yang mempunyai pendingin hawa.
Setelah dikenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelanggan yang inginkan jualan mereka di dalam bangunan yang berhawa dingin, Zull Design Autotronic (ZDA) telah menemui cara baharu untuk mencapai hasrat pelanggan tersebut.
ZDA telah menghasilkan dapur elektrik apam balik yang mudah digunakan di kawasan pasar malam atau di dalam bangunan yang berhawa dingin. Dapur elektrik apam balik ini bukan sahaja mudah digunakan malah lebih selamat berbanding menggunakan gas.
Sebagaimana diketahui, mereka yang berminat menggunakan dapur berkenaan khususnya peniaga apam balik, bolehlah menghubungi ZDA bagi menyatakan hasrat tersebut memandangkan konsep perniagaan ZDA adalah berdasarkan tempahan atau permintaan pelanggan.
Perbincangan perlu ada supaya mereka yang membuat tempahan dapat berbincang dengan ZDA dan syarikat boleh mereka cipta mesin tersebut mengikut keperluan dan kehendak mereka sendiri.
Ini dapat membantu pengguna menempah mesin yang diperlukan mengikut kemampuan dan spesifikasi yang dikehendaki serta mengelakkan sebarang masalah timbul kemudian hari.
ZDA mengutamakan kepuasan pelanggan dan sebarang mesin yang dihasilkan dapat membawa faedah kepada perniagaan mereka.
Jika terdapat sebarang pertanyaan dan tempahan atau maklumat lebih lanjut. Hubungi Zull Design Autotronic (ZDA) Hari Isnin - Jumaat. Masa: Pukul 9 pagi hingga 5.30 petang (waktu pejabat sahaja). Talian: 03-6092 1928, 012- 733 2066, faksimile 03-6091 4000. E-mel: mail@zulldesign. com.my atau layari laman web ZDA iaitu www. zulldesign.com.my

150,000 DIJANGKA KUNJUNGI FESTIVAL LAYANG-LAYANG

PASIR GUDANG 25 Feb. - Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-20 yang diadakan selama lima hari bermula hari ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Md. Za'nal Misran berkata, festival kali ini membawakan tema 'Mencorak Keharmonian' yang bermaksud membina jambatan kepada persahabatan yang kukuh sesama peserta dan para pengunjung.
Kata beliau, lebih 250 peserta antarabangsa dari lebih 50 buah negara termasuk Poland, Romania, Scotland, Myanmar, Mongolia, Maghribi dan Liechtenstein akan menyertai festival ini.
"Festival layang-layang ini juga merupakan salah satu daripada acara yang terdapat di dalam kalendar pelancongan negara sempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015).
"Majlis perasmian festival akan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat ini," katanya yang ditemui semasa melawat tapak festival bertempat di Bukit Layang-Layang Pasir Gudang di sini.
Pelbagai acara menarik disediakan sempena majlis perasmian yang diadakan pada sebelah malam seperti persembahan layang-layang berlampu, persembahan aksi lagak ngeri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pertunjukan bunga api.
Md. Za'nal yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) berkata, masyarakat khususnya warga bandar raya Johor Bahru dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan lagi festival yang sinonim dengan Pasir Gudang ini.
“Festival layang-layang ini merupakan anjuran kerajaan negeri melalui MPPG dan Jabatan Pelancongan negeri dengan usaha sama Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor,” katanya.
Antara aktiviti yang disediakan termasuklah pertandingan wau tradisi, bengkel membuat wau, pertandingan mewarna, persembahan kebudayaan, persembahan artis popular serta pelbagai gerai jualan.

NASI AYAM PAK HJ. YA- KUAH, LANGKAWI


RESTORAN Pak Hj. Ya Nasi Ayam terletak di Pekan Kuah, Langkawi.


SUASANA luar restoran kelihatan seperti salah sebuah kedai nasi ayam yang biasa dilihat di sekitar pekan Kuah, Langkawi, Kedah.
Bermula dengan perniagaan gerai secara kecil-kecilan, Zakaria Abdon, 56, mungkin boleh berbangga dengan pencapaiannya hari ini.
Perniagaan yang dahulunya dijalankan secara kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah restoran.
Apa yang boleh dikatakan, Restoran Pak Hj. Ya Nasi Ayam bukan sahaja dikenali dalam kalangan penduduk tempatan, bahkan para pelancong di Pulau Legenda itu.
Menurut Zakaria atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ya, antara keistimewaan nasi ayamnya ialah resipinya.
Pak Ya mula berniaga secara kecil-kecilan di sebuah gerai tidak jauh dari restoran tersebut sejak tahun 1994.
“Resipi nasi ayam ini merupakan resipi warisan. Ayam digoreng garing dan dihidangkan bersama kicap serta hirisan sayur kubis,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.
Tambahnya, hidangan ringkas iaitu nasi bersama ayam goreng, sos dan sup panas menjadi kegemaran pelanggannya.
“Ramai yang sukakan ayam goreng kerana sebelum digoreng garing, ia diperap bersama sos istimewa,” jelasnya.
Menurut Pak Ya, harga satu set nasi ayam ialah RM4.50.
“Selain itu, kami akan memastikan kualiti makanan, premis bersih dan berkeadaan baik bagi memastikan setiap pelanggan berpuas hati,” katanya.
Ujarnya, seramai 25 pekerja membantu di restorannya yang kini mampu memuatkan seramai 300 pelanggan.
“Kami rekodkan kira-kira 1,000 bungkusan nasi ayam setiap hari dan 800 pinggan bagi pesanan di restoran,” ujarnya yang memberitahu, sebanyak 100 ekor ayam digoreng setiap hari bagi memenuhi permintaan tersebut.
Tambah Pak Ya, pada masa hadapan, beliau bercadang untuk membuka sebuah cawangan di kawasan Pantai Chenang.
Sementara itu, salah seorang pelanggan tetapnya, Mohamad Zamri Abdul Mutalib, 29, memilih restoran itu sebagai salah sebuah restoran kegemaran keluarganya.
“Sudah lapan tahun saya dan isteri menjamu selera di restoran ini dan nasi ayam yang lazat ini sememangnya menjadi pilihan kami sekeluarga,” ujarnya.

Wednesday, February 18, 2015

PENAMBAKAN FOREST CITY BERMULA

  • Penambakan Forest City bermula
 1 / 1 
JOHOR BAHRU – Kerja penambakan bagi pembangunan Forest City di Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini akan dimulakan selepas sambutan Tahun Baru Cina ini.

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacific View Sdn Bhd, Datuk Md Othman Yusof berkata, projek pembangunan perdagangan bercampur itu akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu fasa pertama melibatkan kawasan seluas 80 hektar.

“Kita akan memulakan projek ini pada kadar segera selepas ia dimuktamadkan dengan pengecilan projek 30 peratus daripada perancangan asal yang telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar, bulan lalu.

“Kita agak optimis menyiapkan pembangunan pertama yang akan menempatkan ‘show vilage’ (ruang pameran dan jualan) dalam tempoh setahun susulan kejayaan kita membangunkan projek di Country Garden Danga Bay dalam tempoh enam bulan sahaja,” katanya sesi taklimat bersama media di sini, semalam.

Md Othman berkata pembangunan itu memenuhi semua syarat wajib yang ditetapkan dari segi udara, bunyi , kualiti air dan sedimen sekali gus memastikan pembinaan bandar Metropolis atas air seluas 1386 hektar itu tidak memberi kesan yang besar kepada eko-sistem.

“Kita akan member penekanan khusus pada memulihara kawasan persekitaran malah ia mengekalkan rumput laut  yang ada di Pulau Merambong di sempadan Malaysia-Singapura dengan dana RM3.5 juta bagi tujuan ini.

“Kita bagaikan membina sebuah hutan di atas disebuah pulau dengan menanam semula pokok bakau dan menjadi keutamaan  kami untuk meminimumkan kesan selain  memastikan bahawa ekologi sekitar terjaga dengan baik," katanya.

Projek yang dinamakan Forest City melibatkan pembinaan empat buah pulau buatan manusia di perairan Tanjung Kupang antara barat daya Johor dan barat laut Singapura dibangunkan secara usahasama antara pemaju terbesar dari China, Country Garden Holdings.

SOTONG CELUP TEPUNG KAK SU CORNER-BATU BURUK

  • Sotong celup tepung
 1 / 1 
PELANCONG tempatan mahupun luar negara yang berkunjung ke Terengganu pasti mencuba sotong celup tepung yang memang terkenal di negeri ini bagaimanapun, mereka perlu bijak cari sotong yang segar bagi mengelak ditipu peniaga.

Bagi Suriani Zainal Abidin, 42, sotong celup tepung yang dijual di kedai makannya di Medan Selera Batu Buruk, Kak Su Corner lain daripada yang lain kerana sotong celup tepungnya itu tidak dipamerkan sebaliknya ia digoreng berdasarkan permintaan pelanggan.

“Kak Su mementingkan kualiti dan rasa serta kebersihan. Sotong yang digoreng memang sotong besar.. segar dan biasanya bila pelanggan mahu baru kita goreng supaya mereka dapat menikmati sajian yang segar dan masih panas.

“Sejak berniaga di sini tiga tahun lalu memang begitulah cara saya menjual sotong celup tepung, bila pelanggan mahu baru kita goreng dan dijual pada harga RM7 sepinggan” katanya.

Menurutnya, Kak Su Corner dibuka pada setiap hari kecuali Isnin dan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Suriani berkata, pada musim cuti sekolah atau musim cuti sempena perayaan memang ramai pelancong sama ada tempatan dan luar negara singgah ke situ untuk menikmati menu wajib negeri ini.

“Kebanyakan mereka akan memesan sotong celup tepung tidak kira waktu.. sama ada untuk dimakan pada waktu petang atau tengah hari,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah sotong yang terjual dalam sehari, dia berkata jumlah sebenar tidak dapat diagak kerana ia dibuat berdasarkan permintaan pelanggan.

“Kalau nak kata berapa kilogram sotong dijual dalam sebulan atau seminggu, saya tidak dapat agak kerana ia dibuat berdasarkan permintaan pelanggan. Cuma, saya boleh kata jika musim cuti, permintaan agak tinggi berbanding hari biasa.