Pengerusi jawatankuasa penganjur, Md. Za'nal Misran berkata, festival kali ini membawakan tema 'Mencorak Keharmonian' yang bermaksud membina jambatan kepada persahabatan yang kukuh sesama peserta dan para pengunjung.
Kata beliau, lebih 250 peserta antarabangsa dari lebih 50 buah negara termasuk Poland, Romania, Scotland, Myanmar, Mongolia, Maghribi dan Liechtenstein akan menyertai festival ini.
"Festival layang-layang ini juga merupakan salah satu daripada acara yang terdapat di dalam kalendar pelancongan negara sempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015).
"Majlis perasmian festival akan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat ini," katanya yang ditemui semasa melawat tapak festival bertempat di Bukit Layang-Layang Pasir Gudang di sini.
Pelbagai acara menarik disediakan sempena majlis perasmian yang diadakan pada sebelah malam seperti persembahan layang-layang berlampu, persembahan aksi lagak ngeri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pertunjukan bunga api.
Md. Za'nal yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) berkata, masyarakat khususnya warga bandar raya Johor Bahru dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan lagi festival yang sinonim dengan Pasir Gudang ini.
“Festival layang-layang ini merupakan anjuran kerajaan negeri melalui MPPG dan Jabatan Pelancongan negeri dengan usaha sama Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor,” katanya.
Antara aktiviti yang disediakan termasuklah pertandingan wau tradisi, bengkel membuat wau, pertandingan mewarna, persembahan kebudayaan, persembahan artis popular serta pelbagai gerai jualan.