BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, January 13, 2013

KENTIAN BAS, TEKSI BAKAL JADI PUSAT REKREASI


PONTIAN 12 Jan. - Tapak perhentian bas dan teksi lama dan gerai-gerai di Jalan Dewan di sini akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi serta medan selera berkonsep moden demi keselesaan orang ramai.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunos berkata, perancangan awal sedang dilakukan dengan merobohkan bangunan tersebut yang tidak lagi beroperasi selepas semua operasi bas dan teksi berpindah ke terminal pengangkutan awam yang baru di Pusat Perdagangan Pontian.
Katanya, pembangunan semula yang dirancang mampu menjadi satu tarikan baru kepada orang ramai memandangkan kawasan itu terletak berhampiran Sungai Pontian Kecil serta pesisiran pantai Pontian.
"Bagi menepati sebuah bandar yang selesa serta memenuhi keperluan orang ramai, MDP sentiasa berusaha menjadikan bandar Pontian Kecil dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rekreasi serta medan selera.
"Turut menerima impak daripada pembangunan semula ini ialah para peniaga pasar malam yang kini beroperasi di tapak perhentian bas dan teksi lama pada setiap Jumaat dan Isnin," katanya selepas melawat kerja-kerja merobohkan bangunan perhentian bas dan teksi lama di sini baru-baru ini.
Miswan berkata, turut terlibat dengan pembangunan semula itu ialah 25 gerai yang merupakan baki kepada gerai-gerai yang telah dipindahkan ke Terminal Pengangkutan Awam Pontian yang baru.
Menurutnya, MDP akan membantu para peniaga yang ada sekiranya kerja-kerja pembangunan dilaksanakan kelak bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan di tempat yang sesuai.
Ditanya tentang kerja-kerja pembinaan jambatan kedua Pontian yang merentangi Sungai Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian, beliau memberitahu, kerja-kerja sedang dilaksanakan oleh pemaju dan apabila siap kelak akan memendekkan perjalanan antara bandar Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian.

No comments:

Post a Comment