BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, January 18, 2013

SINDROM KURANG SOPAN WARGA PARIS


SETIAP tahun Paris, ibu negara Perancis menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia. Begitupun, sedikit mengecewakan apabila kemasyhuran bandar raya itu tidak seiring dengan sikap penghuninya yang disifatkan para pelawat sebagai biadab, sombong dan kelam-kabut.
Menurut laporan sebuah blog CNN pada 2011, pintu gerbang Paris iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle dianggap sebagai lapangan terbang terburuk di dunia dengan reka pelannya yang begitu mengelirukan, tandas yang menjijikkan, selain staf lapangan terbang yang dikatakan tidak mesra.
"Bagaikan berada di penjara yang terputus dari segala hubungan," kata seorang pengembara.
Kelakuan buruk masyarakat Paris tidak hanya dialami oleh para pelawat, malah turut berlaku layanan buruk sesama mereka. Sebagai contoh, pelayan restoran melayan pelanggan dengan biadab.
Seorang pakar psikiatri Jepun yang menjalankan latihan di Paris selama tiga dekad telah berjaya mengenal pasti apa yang dinamakannya Sindrom Paris dalam kalangan para pelawat yang datang ke bandar itu.
"Pelancong tiba di Paris dengan gambaran di minda jauh yang tersasar daripada realiti sebenar," kata doktor yang tidak mahu didedahkan namanya.
"Pelancong tidak menjangka bahawa mereka akan disambut dengan begitu agresif, lantas mengakibatkan ketakutan dan diselubungi rasa bimbang."
Setelah pelbagai usaha dijalankan yang rata-rata tidak membuahkan hasil, satu usaha terbaharu telah dijalankan oleh pihak berkuasa kenderaan awam bandar tersebut.
Menggunakan siri poster penuh humor, usaha itu menampilkan pelbagai haiwan dari sisi agresif mereka yang boleh dilihat di stesen Perbadanan Kereta Api Kebangsaan Perancis (SNCF), bas dan kenderaan awam lain.
"Ini adalah masalah di seluruh Perancis," menurut Ketua Perbadanan Kereta Api Kebangsaan Perancis (SNCF), Guillaume Pepy, yang turut berkata, bahawa masalah tersebut telah berlarutan merentasi sempadan bandar itu.
Etika asas
Menurutnya juga, SNCF telah merekrut 100 petugas untuk mengingatkan para penumpang akan pelbagai etika asas yang perlu dituruti saat mereka menaiki pengangkutan awam.
Antaranya, larangan merokok di dalam kenderaan awam, larangan meletakkan kaki di tempat duduk bertentangan dan larangan merosakkan kemudahan awam.
Menurut Guillaume, yang paling teruk adalah penumpang lewat malam.
Meludah dan melayangkan isyarat lucah adalah perkara biasa.
"Mereka minum minuman keras secara terbuka, menghisap ganja dan meletakkan kaki di bangku penumpang," katanya.
Sementara itu, pakar sosiologi, Dominique Picard berkata, dia tidak pasti jika kempen itu akan berjaya, tetapi mengakui sesuatu perlu dilakukan untuk mengubahnya.
Beliau juga merupakan penulis Savour Vivre, sebuah buku tentang adab yang diterbitkan pada tahun 2007.
Masalah imej adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku pada bandar raya megah seperti Paris.
"Tapi hari ini, aduan tentang ketidaksopanan di Paris semakin bertambah. Ia tidak menjurus kepada satu kelas sosial sahaja, malah turut melibatkan keseluruhan masyarakat," tambah Dominique.
Akhbar Perancis, Marianne menyalahkan stres sebagai punca kepada masalah sikap warga Perancis terutamanya di Paris.
Tambahnya, warga Paris berada dalam keadaan lebih tertekan berbanding tempat lain disebabkan tempoh kerja yang panjang dan pertambahan penduduk sehingga menyesakkan kawasan perumahan pinggir kota. Ia menjadi tempat tinggal kepada 11 juta penduduk.
Berdasarkan kajian, 97 peratus pengguna pengangkutan awam pernah menyaksikan ketidaksopanan pengguna pada bulan sebelumnya, malah lebih mengejutkan 67 peratus mengaku melakukan kesalahan sivil kepada penumpang lain.
Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Perancis (RATP) memberi respons terhadap kempen tersebut dengan menyatakan kepentingan pertukaran senyuman ikhlas ketika berada dalam pengangkutan awam.
Tidak semua memandang rendah dengan keperibadian orang Paris.
"Selama ini, saya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Masyarakat lain hanya tidak dapat menilai perbezaan budaya," ujar penulis blog Amerika, Karen Fawcett dalam blognya, Bonjour Paris.
Fahami budaya
Secara tradisional di Perancis, sedikit lirikan mata, tidak kira ketika berada dalam lif, pusat beli-belah atau dalam pengangkutan awam, menunjukkan sapaan antara mereka. Ia kadangkala tidak dapat diterima oleh segelintir pelancong asing.
"Menjadi tanggungjawab pelancong asing untuk memahami budaya dan cara hidup penduduk setempat, sebelum mereka terus membuat tuduhan atas layanan yang mereka hadapi," tulis Karen.
Sebilangan penduduk Paris mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan tahap sivik seperti yang dilakukan oleh pemilik kafe, Patrick Laubignant di bandar Marciac. Bandar itu terkenal dengan penganjuran festival jazz pada musim panas.
Dia akan menaikkan cukai 'ketidaksopanan' kepada pelanggan yang terlupa mengucapkan 'tolong' ketika membuat pembelian

No comments:

Post a Comment