BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, April 3, 2013

DANA INDUSTRI HALAL


Abdullah Ahmad Badawi berucap merasmikan Persidangan Minggu Halal Dunia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 3 April - Forum Halal Sedunia mengumumkan rancangan penubuhan sebuah dana ekuiti swasta bernilai AS$500 juta (RM1.54 bilion) yang tertumpu kepada pembangunan industri halal.
Penubuhan dana secara berperingkat itu diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pada majlis pelancaran Azka Capital pada Forum Halal Sedunia yang kelapan, hari ini.
"Dalam dekad yang lepas terdapat banyak perkembangan dalam industri halal global dari aspek kesedaran, piawaian dan pensijilan, perkilangan dan perdagangan.
"Kini tiba masanya untuk menjana pelaburan yang kukuh dan membuka lebih banyak peluang bagi menggalakkan penyertaan dalam sektor halal yang amat penting ini," kata Abdullah dalam ucap tama beliau semasa Persidangan Minggu Halal Dunia 2013, di sini.
Menurut kajian, jualan global halal, termasuk makanan, produk farmaseutikal dan kosmetik menjana AS$2.1 trilion (RM6.4 trilion) setiap tahun.
Azka Capital adalah sebuah firma penasihat ekuiti persendirian yang memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif dalam industri halal dan Abdullah merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat firma berkenaan.
Firma terbabit merupakan usahasama terkini Forum Halal Sedunia di peringkat global sebagai penggerak dan pengolah industri halal dalam merapatkan juang di antara industri halal dan sektor kewangan Islam.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Azka Capital, Rushdi Siddiqui dalam satu kenyataan akhbar berkata, keselamatan makanan menjadi aspek penting dalam dasar keselamatan negara.
Katanya, ini kerana negara-negara Islam kebanyakannya merupakan pengimport bersih makanan dan secara amnya tidak mempunyai kawalan terhadap rantaian bekalan dan integriti makanan mereka.
"Skandal daging kuda di Eropah baru-baru ini dan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) daging babi dalam daging yang telah disahkan halal oleh syarikat multinasional yang bertanggungjawab untuk menjamin integriti halal sepatutnya tidak boleh diterima.
"Janji kosong ke atas jaminan keselamatan makanan tidak lagi mencukupi. Dana ini merupakan peluang untuk para pelabur dan penggubal dasar mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi menjamin integriti bekalan makanan," ujarnya.
Azka Capital akan melantik penasihat daripada pengamal sektor makanan halal bertaraf dunia dan menerima khidmat nasihat syariah daripada Amanie Advisors dan Dar Al Shariah dari Dubai.
Pada masa ini, import makanan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melebihi AS$40 bilion (RM123 bilion) setahun dan penduduk Islam global dijangka meningkat daripada 1.6 biion kepada 2.2 bilion menjelang 2030.

No comments:

Post a Comment