BANNER KEMANGI
FACILITIES
Monday, April 29, 2013
RESTORAN MAKANAN SEDAP, KOTA DAMANSARA
BAK nama restorannya, Restoran Makanan Sedap yang terletak di Bistari De'Kota, Kota Damansara memang sedap belaka masakannya.
Wajar dicuba! Hidangan asam pedas ekor, menu yang sering dihidangkan di kebanyakan hotel. Sajian istimewa dari Melaka ini disediakan sedikit cair seperti sup hingga boleh dihirup begitu sahaja.
Bau harum semerbak dari renehan air asam bersama bunga kantan dan daun kesum pasti membuatkan pelanggan tidak sabar menikmatinya ditambah dengan ekor lembu yang menggantikan lauk biasa seperti ikan atau daging.
Tidak lupa tomyam makanan laut di Restoran Makanan Sedap. Jangan terkejut bila melihat ketam berada di dalam mangkuk tomyam anda dan rasa manis dari renehan ketam yang segar itu menyeimbangkan rasa masam dan pedas hidangan terkena Thailand itu.
Ayam kampung goreng kunyit di restoran ini juga tidak kurangnya. Kesegaran ayam kampung pasti membuatkan anda menambah nasi di pinggan.
Selain masakan Melayu, restoran tiga tingkat ini turut menghidangkan pelbagai masakan Cina dan Barat bagi memenuhi selera pelanggan.
Jangan malu bertanya dengan chef cara masakan atau hidangan lain yang tidak ada dalam menu, kerana apa yang anda idamkan mungkin dapat dipenuhi.
Ujar Ketua Chef, Zul Azuwar, Restoran Makanan Sedap menggunakan konsep pesanan bebas kepada pelanggan mengikut cita-rasa sendiri.
"Orang sekarang semakin pandai menikmati makanan. Jika bahan-bahan untuk hidangan yang dipesan khas ada di dapur, ia boleh diusahakan.
"Konsepnya seperti meminta ibu anda masak mengikut selera anda. Kami juga akan cuba menepati selera pelanggan," ujarnya yang berpengalaman bekerja di beberapa buah hotel terkenal di sekitar Lembah Kelang sebelum ini.
Bagi yang mengidam masakan Barat, boleh mencuba ayam bakar bersama lapisan keju yang dihidang bersama sos BBQ atau lamb chop yang menggunakan daging kambing segar bersama sos rosemary.
Jangan pulang dulu sebelum mencuba manisan mereka iaitu karamel krim atau pai epal bagi melengkapkan kunjungan di Restoran Makanan Sedap yang sungguh tenang dan selesa.
Restoran yang banyak bermain dengan warna tanah dan berkonsepkan semulajadi di dalam tata hias turut menyediakan set makan tengah hari iaitu gabungan nasi putih, air dan pilihan lauk seperti tomyam, ayam paprik dan daging goreng kunyit bermula RM10 bagi memudahkan pelanggan.
Labels:
MAKAN SPOT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment