BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, April 29, 2013

IKAN BAKAR RESTORAN SEDAP RASA, BANDAR SUNGAI BUAYA


Ikan talapia bakar dicicah air asam yang menjadi resipi turun temurun.

AROMA ikan yang dibakar bersama balutan daun pisang pastinya mampu membuka selera sesiapa sahaja yang terbau akan keharumannya.
Keenakannya bukan sahaja terasa tatkala menikmatinya begitu sahaja tetapi ikan bakar amat sinonim dengan air asam sebagai penyedap rasa.
Bagi mereka yang meminati hidangan ini pastinya lokasi-lokasi seperti Tanjung Harapan, Kelang; Tanjung Lumpur, Kuantan; Umbai Melaka menjadi pilihan untuk menikmati ikan bakar segar.
Kini disebabkan permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan peminat-peminat ikan bakar, banyak restoran yang telah menyediakan menu tersebut untuk memudahkan peminat-peminat hidang tersebut untuk menikmatinya tanpa perlu bersusah payah ‘berjalan’ jauh.
Bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan Rawang, hari ini mereka boleh menikmati ikan bakar di Restoran Sedap Rasa yang terletak di No. 11, Jalan Kesumbasari 1, Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor.
Menurut pemilik restoran tersebut, Norhayati Ramli, 39, ikan bakar yang ditawarkan di restorannya itu terdiri daripada ikan talapia, kembung, pari dan juga cencaru.
Katanya lagi, keistimewaan ikan bakar yang ditampilkan di Restoran Sedap Rasa ialah terletak pada keenakan air asamnya yang dihasilkan daripada resipi turun temurun.
“Ikan bakar lazimnya sinonim dengan air asam yang dicicah bersama dan di sinilah terletaknya keistimewaan ikan bakar Restoran Sedap Rasa ini.
“Ini kerana air asam yang dihasilkan menggunakan resipi turun temurun daripada keluarga dan sudah pasti resipinya adalah asli.
“Pada masa yang sama, ikan yang diperap bersama bahan-bahan seperti halia, bawang merah, bawang putih, cili besar, kunyit, serai, dan garam selama lebih kurang dua hingga tiga jam menjadikan hidangan ini lebih enak ketika dinikmati," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai hidangan tersebut, ulas Norhayati lagi, satu lagi keistimewaan yang ditampilkan ialah ikan talapia.
Ini kerana katanya, ikan talapia lazimnya susah untuk didapati apatah lagi untuk dinikmati warga kota.
Selain itu, ikan bakar yang dijual di sini juga dibalut dengan daun pisang di mana bau harum semerbak daun pisang yang dibakar menjadikan ikan lebih sedap.
Dibakar dengan menggunakan arang yang berkualiti serta dibakar di dalam tempat khas, ikan bakar yang dibakar di sini hanya mengambil masa selama lima minit.
Di sinilah terletak keenakan ikan bakar Sedap Rasa dan uniknya apabila anda perlu membuka sendiri ikan bakar yang dibalut dengan daun pisang.
Dijual pada harga yang berpatutan, Norhayati turut memberitahu harga selalunya berdasarkan jenis serta saiz ikan yang dijual.
Mengakui menu tersebut merupakan menu terbaru yang dijual di restorannya, Norhayati berkata, ia adalah penambahan menu untuk memberi pelbagai pilihan kepada para pelanggannya.
Mengusahakan restoran makanan panas sejak 11 tahun lalu, Restoran Sedap Rasa menyediakan hidangan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam kepada para pelanggan.
Begitupun, Norhayati menjelaskan untuk ikan bakar, ia hanya ditawarkan bermula pada pukul 5 petang hingga tengah malam.
Dia yang juga menawarkan francais perniagaan tersebut (ikan bakar) kepada sesiapa yang berminat boleh hubungi talian 01118554298 untuk keterangan lanjut.
“Menawarkan francais kepada mereka yang ingin berniaga ikan bakar adalah sebahagian daripada perancangan untuk memperkembangkan lagi perniagaan ini (ikan bakar).
“Saya berpendapat tidak salah sekiranya ia dikongsi bersama dan di samping itu ini adalah salah satu cara untuk memperkenalkan ikan bakar Sedap Rasa di pasaran.
“Apa yang diharapkan agar dengan pertambahan menu ini ia dapat memberi pilihan serta kemudahan kepada warga kota menikmati ikan bakar mengikut cita rasa mereka," katanya sebelum mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment