BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 3, 2013

JAMU BURASAK DI PAGI RAYA

  • Jamu burasak di pagi raya
  • Yusnuryanti menunjukkan burasak yang sedia untuk dijual.
 1 / 1 
PONTIAN - Menjelang sambutan Aidilfitri kurang seminggu lagi, hidangan makanan tradisional masyarakat Bugis iaitu burasak dan lepat lueh sudah mula ditempah.

Bagi pengusaha makanan tradisional, Zaharah Noh, 61, berkata, sebanyak 200 bungkus burasak dan lepat lueh telah ditempah bagi dijadikan hidangan kepada tetamu pada Aidilfitri nanti.

Jelasnya, proses pembuatan burasak dan lepat lueh yang memerlukan hampir lapan jam untuk dimasak membuatkan hidangan tradisi ini perlu ditempah lebih awal.

“Burasak seperti ketupat nasi, tetapi dicampur dengan sedikit santan. Ia dibungkus leper berbentuk segi empat seperti lepat pisang.

“Cara membungkusnya perlu teliti dan kemas kerana akan dimasak selama lapan jam,” katanya ketika ditemui di Sanglang, Benut.

Pembuatan lepat lueh dan burasak hampir sama, cuma lepat leuh menggunakan pulut dan dibentuk menggunakan acuan berbentuk segi tiga.

“Daun pisang digunakan bagi membungkus kedua-kedua hidangan tradisi ini, namun hanya daun pisang muda saja yang digunakan.

“Selain mampu mengekalkan warna hijau muda, penggunaan daun pisang muda juga membuatkan burasak dan lepat lueh lembut,” katanya.

Bagi menyiapkan tempahan yang diterimanya itu, Zaharah akan dibantu oleh anak perempuannya Yusnuryanti Sading, 29.

“Biasanya yang datang menempah terdiri daripada pelanggan tetap.

“Pelanggan bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Bugis, tetapi masyarakat Melayu dan Jawa juga turut menempah hidangan tradisional ini.

“Selain dari pelanggan di sekitar Benut terdapat juga pelanggan di sekitar bandar Pontian yang telah membuat tempahan awal,” katanya.

Menurut Yusnuryanti, dia dan ibunya akan memasak kedua-dua hidangan tradisi ini selepas sahur sama seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini.

“Burasak dan lepat lueh mempunyai rasa yang enak dan tidak jemu dimakan bersama dengan asam pedas, daging masak kicap dan serunding ayam atau daging.

“Kami turut membuka gerai menjual burasak dan lepat lueh setiap hari di hadapan rumah bagi memudahkan orang ramai mendapatkan juadah tradisi ini.

“Sebanyak 20 bungkus burasak dan lepat akan dimasak dan dijual setiap hari, harganya pula RM8 bagi sebungkus lepat leuh dan RM7 bagi burasak,” katanya.

No comments:

Post a Comment