BANNER KEMANGI
FACILITIES
Wednesday, August 14, 2013
PULUT PERIUK KERA JUADAH RAYA
LABIS 13 Ogos - Masyarakat hari ini mungkin hanya mengetahui periuk kera merupakan tumbuhan meliar di hutan yang kini turut dikembangkan sebagai tanaman hiasan. Namun tidak ramai daripada kita yang merasai pulut periuk kera, juadah Aidilfitri yang menjadi kemestian di beberapa kawasan sekitar Johor dan Pahang.
Bagi pasangan Abdullah Kayan, 46, dan Norashikin Salimin, 41, pulut periuk kera menjadi sumber rezeki lumayan terutama setiap kali menjelang Syawal sebagai salah satu pilihan hidangan.
Menurut Abdullah, rasa pulut periuk kera tidak banyak beza dengan lemang kerana kedua-dua makanan tradisi masyarakat Melayu itu mempunyai banyak persamaan dengan pulut dan santan kelapa sebagai bahan utama.
Bezanya, lemang dimasak di dalam buluh dan dibakar berjam-jam lamanya sementara pulut periuk kera pula dikukus yang hanya memerlukan masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk dimasak.
"Ini membuka peluang kepada kepada kami membekalkan sama ada periuk kera mahu pun pulut periuk kera yang sudah siap dimasak kepada mana-mana pihak yang berminat menjadikannya sebagai hidangan. Biasanya tempahan diterima untuk majlis berbuka puasa di pertengahan Ramadan lagi.
"Tetapi paling banyak tempahan diterima adalah sehari sebelum sambutan hari raya kerana ramai yang mahu menghidangkan pulut periuk kera sebagai juadah istimewa pada pagi raya," katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di rumahnya di Kampung Tenang, Labis, di sini baru-baru ini.
Menurut Abdullah, dia bersama isteri pernah bersengkang mata pada malam raya tahun lalu untuk menyiapkan 1,500 biji pulut periuk kera yang ditempah pelanggan yang dijual dengan harga RM1 sebiji.
Anggaran 10,000 periuk kera yang dibersihkan dijual setiap tahun pada harga 30 sen dengan sebahagian besar daripadanya adalah permintaan yang melonjak pada setiap kali Ramadan dan Syawal sejak 13 tahun perusahaan itu dimulakan mereka.
Malah, kata Abdullah, periuk kera kini semakin sukar diperolehi sehingga dia terpaksa mengupah Orang Asli untuk mendapatkan bekalan dari Hutan Bekok dengan upah RM50 sehari walhal ia tumbuhan yang melata di sekitar kampung berdekad lamanya.
Sementara itu, Norashikin yang mempelajari cara membuat pulut periuk kera daripada arwah neneknya berpendapat, kesukaran itulah yang membawa rahmat kerana memberi peluang perniagaan kepadanya dan suami.
Tentang cara membuat pulut periuk kera, beliau sendiri menunjukkan cara membersihkan periuk kera yang dijadikan acuan sebelum dikeringkan.
"Kemudian bolehlah masukkan beras pulut yang sudah siap dibasuh, diikuti santan kelapa yang sudah dibubuh garam secukup rasa sehingga tenggelam beras pulut tersebut.
"Selepas proses tersebut selesai, periuk kera yang telah diisi pulut dan santan perlu dikukus selama 15 hingga 20 minit dan selepas itu ia sedia untuk dihidangkan," katanya.
Labels:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment