BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 31, 2013

MEE UDANG BERASAP DI TANJUNG PIANDANG

Mi udang biasanya sinonim dengan Kuala Sepetang iaitu sebuah kawasan perkampungan nelayan yang terletak di Taiping, Perak.
Di sepanjang jalan dari Matang menuju ke Kuala Sepetang, terdapat banyak gerai dan restoran mi udang yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan setelah makanan tersebut menjadi tarikan destinasi pelancongan di Taiping.
Di hujung minggu atau musim cuti perayaan, lalu lintas di laluan itu pasti sibuk dengan kenderaan yang datang dari jauh semata-mata mahu merasai kesedapan mi udang terutama udang segar di situ.
Disebabkan popularitinya, mi udang kini boleh didapati di banyak tempat di seluruh negara termasuk di Tanjung Piandang yang juga kawasan nelayan di Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak.
Sebuah gerai mi udang yang popular di Tanjung Piandang adalah Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru yang terletak di Batu 12, Jalan Pantai, Sungai Baru yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru dan Balai Belia Sungai Baru.
Dibuka sejak enam tahun lalu, restoran yang diusahakan oleh ibu tunggal, Rosnah Mohd Noor, 40, dan rakan kongsinya Che Saad Omar, 50, itu mendapat sambutan hebat daripada penduduk tempatan, malah pengunjung luar kawasan ini.
Nama Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru sudah cukup menggambarkan tarikan dan keistimewaan mi udang yang dijual di restoran tersebut.
Berbeza dengan mi udang yang dijual di tempat-tempat lain, mi udang di restoran tersebut dimasak dan dihidangkan seperti masakan mi claypot yang panas dan berasap bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan menikmati hidangan tersebut.
Seperti mi udang di Kuala Sepetang, mi udang di Ros Mee Udang Sungai Baru menggunakan udang-udang segar yang mudah diperolehi di kawasan tersebut yang sebahagian besar penduduknya bekerja sebagai nelayan.
Menurut Rosnah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ros, walaupun premisnya itu menyediakan pelbagai menu lain termasuk mi Jawa, mi rebus, mi ketam, mi sotong, masakan ala Thai, stimbot dan sebagainya, mi udang berasap merupakan menu paling popular dalam kalangan pelanggan.
Kata Kak Ros, dia menggunakan resipinya sendiri untuk menghasilkan mi udang berasap itu kerana mahu pelanggan merasai keunikan masakan tersebut berbanding di tempat-tempat lain.
"Pelanggan juga boleh memilih pelbagai jenis masakan mi udang berasap. Ada mi udang berasap biasa, sederhana dan istimewa. Harga sepinggan mi udang biasa adalah RM5, sederhana RM7 dan istimewa RM9.50," katanya.
Rosnah yang pernah bekerja di beberapa buah restoran di Pulau Langkawi, Kedah itu bersyukur kerana restorannya itu mendapat sambutan sangat baik daripada orang ramai.
"Pada hari biasa pun ramai orang datang ke sini untuk menjamu selera terutamanya mi udang berasap. Kalau hari cuti, memang tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang bertali-arus walaupun ada 10 orang pekerja di restoran ini," ujarnya.
Selain tarikan pada menu masakan, restoran itu menawarkan menu minuman tersendiri yang boleh menarik perhatian pengunjung. Antaranya, minuman coklat tiga musim, jus buah-buahan tiga musim dan air batu campur (ABC).
Kata Rosnah, selain menyediakan masakan yang sedap dan kualitinya terjamin, premisnya juga mementingkan kebersihan dan faktor itu menjadi antara tarikan orang ramai untuk singgah makan di situ.
Bagi mereka yang mengunjungi kawasan Parit Buntar, bolehlah singgah makan di Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru untuk mencuba keunikan masakan mi udang di restoran tersebut yang harganya lebih murah berbanding di tempat-tempat lain.
Maklumat lanjut mengenai restoran tersebut boleh didapati di laman sosial Facebook di alamat https://www.facebook.com/pages/cafe-kak-ros-mee-udang-berasap-sungai-baru/241596425864411.

No comments:

Post a Comment