BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 30, 2014

EL-NINO TIDAK JEJAS BEKALAN AIR JOHOR

PONTIAN 29 Jun - Fenomena El Nino yang dijangka melanda negara dijangka tidak memberi kesan kepada bekalan air di Johor kecuali kemungkinan gangguan di daerah Mersing berikutan paras air di Empangan Congok masih berada di paras tidak stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, empangan tersebut membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Tenglu yang memerlukan lapan hingga sembilan juta liter air sehari untuk 6,148 akaun pengguna selain sumber air dari LRA Sungai Mersing.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, segala bentuk sumber air yang ada di kawasan termasuk dari Empangan Labong yang digunakan bagi tujuan pertanian akan ditingkatkan keupayaannya. Kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mengawal empangan tersebut.
“Pendekatan sedemikian akan dapat membantu menaikkan paras air di Empangan Congok serta mengatasi bekalan air kepada penduduk di daerah tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri taklimat khas kepada Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi ( PDM ) di sini, baru-baru ini.
Pada bulan Mac lalu, paras air di Empangan Congok yang merosot pada paras 4.47 meter melepasi paras kritikal 4.5 meter memaksa bekalan air berjadual dibuat.
Hal serupa turut dilakukan di daerah Kluang pada Februari lalu akibat penurunan paras air Sungai Sembrong Kiri yang menjejaskan pengeluaran di LRA Sembrong Timur.
Menurut Hasni, langkah-langkah awal yang diambil oleh Syarikat Air Johor Holding Berhad (SAJH) dan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) berjaya mengenal pasti masalah tersebut lebih awal.
Ujar beliau, pemantauan berterusan akan dilakukan SAJH terhadap paras air sungai dan empangan yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan di seluruh negeri pada musim El Nino yang dijangka melanda sehingga September ini.
“Jika paras air menyusut kepada tahap amaran, Pelan Tindakan Kecemasan Bekalan Air akan diaktifkan dan menyediakan keperluan logistik bagi bekalan air secara berjadual serta penghantaran bantuan bekalan air dengan menggunakan lori tangki terus kepada pengguna.
“SAJH mempunyai 25 lori tangki dan jumlah akan ditambah sekiranya ada keperluan dengan mendapatkan bantuan daripada syarikat swasta serta 192 tangki statik yang akan digerakkan mengikut permintaan," katanya.
Oleh yang demikian, beliau memberitahu, langkah-langkah yang diambil bertujuan menjaga kepentingan pengguna air di ne­geri ini supaya tidak terjejas berikutan ancaman El Nino yang dijangka berlaku sehingga September ini.

No comments:

Post a Comment