BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, August 14, 2014

APABILA RESTORAN MAKANAN SEGERA DEKAT RUMAH...

Kajian pada tahun 2013 menunjukkan sebanyak 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang dalam kategori obes.
Malah, sebuah jurnal perubatan terkemuka dunia, The Lancet melaporkan Malaysia diletakkan sebagai negara heavyweight apabila 45.3 peratus penduduknya memiliki berat badan berlebihan, iaitu antara yang tertinggi di Asia, sebelum diikuti Korea Selatan (33.2 peratus), Pakistan (30.7 peratus) dan China (28.3 peratus).
Banyak faktor yang menyumbang kepada senario tersebut namun ia lebih merujuk kepada gaya hidup masyarakat hari ini.
Sebagai contoh, dahulu, jika terasa ingin makan makanan segera di waktu malam, perasaan itu terpaksa dipendam buat sementara waktu apabila memikirkan jarak restoran terletak jauh di tengah-tengah bandar.
Berbeza hari ini, orang ramai mudah mendapatkan makanan tersebut di restoran makanan segera kegemaran mereka berikutan ia beroperasi berdekatan dengan kawasan-kawasan perumahan.
Pengambilan makanan segera secara kerap merupakan salah satu faktor berlaku peningkatan kadar obesiti di kalangan rakyat Malaysia.

Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman tidak menafikan, masyarakat hari ini terdedah dengan pelbagai penyakit kronik seperti obesiti berikutan kemudahan restoran makanan segera disediakan kepada mereka
“Tidak dinafikan hari ini restoran makanan segera banyak beroperasi berdekatan dengan kawasan-kawasan perumahan memberi peluang dan kemudahan orang ramai menikmati makanan tersebut.
“Jarak restoran dari kawasan perumahan sangat dekat menyebabkan peluang mereka menikmati makanan tersebut semakin meningkat kerana hanya dengan berjalan kaki sahaja mereka sudah boleh sampai ke sana.
“Kebanyakan restoran ini beroperasi selama 24 jam menyebabkan orang ramai menjadikan budaya mengambil makanan pada lewat malam.
“Malam adalah waktu untuk berehat. Kekerapan mengambil makanan tidak sihat terutamanya pada lewat malam memberi kesan buruk kepada kesihatan sekaligus meningkatkan kadar obesiti," katanya.
Kata Mohd. Yusoff, kewujudan restoran ini ibarat konsep penawaran dan penerimaan kepada pemaju dan masyarakat di sekeliling yang kedua-duanya dilihat mempunyai keuntungan kepada mereka.

“Sebagai pengguna mereka menganggap kewujudan restoran makanan segera ini sebagai kemudahan kepada mereka dalam aspek pembelian makanan.
“Kebanyakan daripada masyarakat kita sekarang ingin semua aspek yang dilalui seharian menjadi mudah termasuklah urusan pembelian makanan.
“Kewujudan restoran-restoran ini dilihat memenuhi kriteria dan kemahuan mereka. Namun, dalam masa yang sama kesihatan dan pemilihan makanan sihat yang diambil setiap hari bergantung kepada sikap pengguna.
“Pengguna yang bijak tidak akan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan yang ditunjukkan dalam media. Mereka sendiri mempunyai kesedaran untuk memelihara kesihatan tubuh mereka dengan tidak menjadikan satu kebiasaan mengunjungi restoran makanan segera," ujarnya.
Katanya, Fomca mencadangkan agar pihak berkuasa mengkaji atau menilai kembali kesesuaian dan garis panduan bagi pembinaan restoran makanan segera berdekatan kawasan perumahan.
“Kerajaan amat prihatin dengan peningkatan penyakit kronik seperti obesiti setiap tahun. Pihak bertanggungjawab perlu melihat kembali jika wujud peraturan kecil atau garis panduan mengenai isu ini.
“Lebih baik dikaji semula sama ada perlu mengurangkan restoran-restoran makanan segera di kawasan-kawasan perumahan bagi membantu mengurangkan masalah obesiti.
“Selain itu, amat diharapkan pada masa depan akan wujudkan restoran makanan seimbang yang menjual semua jenis makanan sihat kepada pelanggan," katanya.

No comments:

Post a Comment