BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, August 11, 2014

PERKAMPUNGAN ALA "NELAYAN AMSTERDAM" DI PASIR GUDANG

JOHOR BAHRU 10 Ogos - Kerajaan negeri berhasrat membangunkan Pasir Gudang sebagai destinasi ekopelancongan di kawasan nelayan di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, dua kawasan perkampungan nelayan telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, idea membangunkan kawasan itu dikenal pasti pihaknya selepas mengadakan lawatan ke perkampungan nelayan di Amsterdam, Belanda baru-baru ini dengan mengekalkan seni bina rumah kayu masyarakat Melayu lama.
"Kita bercadang untuk membina rumah tradisional Melayu di kawasan perkampungan nelayan yang ingin dibangunkan.
Dengan adanya perkampungan ini, nelayan-nelayan boleh menjual produk mereka kepada para pengunjung.
"Perkara ini telah disuarakan dalam mesyuarat Exco untuk membangunkan ekopelancongan di Johor seiring dengan pembangunan pesat bangunan pencakar langit. Kita berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian negeri di sini baru-baru ini.
Ismail berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas kerja lengkap, selain mengenal pasti beberapa lagi tempat yang sesuai untuk dibangunkan.
Pihaknya juga berharap dengan adanya perkampungan tersebut nanti dapat merancakkan aktiviti nelayan di kawasan terbabit dan mampu meningkatkan ekonomi golongan berkenaan.
Mengenai industri kecil dan sederhana (IKS), Ismail berkata, pengusaha perlu mendalami ilmu memproses produk akhir hasil tani, sekali gus memberi peluang kerja kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntuk RM2 juta untuk membantu 300 pengusaha IKS bagi memberi khidmat nasihat, kursus, sijil halal dan bantuan peralatan dan mesin.
"Bagi menggalakkan industri ini terus berkembang, kita akan memendekkan jangka masa pemberian bantuan skim dari enam bulan kepada dua bulan bagi membantu usahawan IKS," katanya.

No comments:

Post a Comment