BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, August 7, 2014

LINDUNGI TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI


SUHAIMI Salleh (depan, enam dari kiri) bersama sukarelawan PASBH di pintu masuk
Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian sebelum melakukan kerja-kerja menanam anak-anak
pokok bakau di kawasan tersebut baru-baru ini. -

PONTIAN 6 Ogos - Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) dan Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK) dekat sini perlu terus di­lindungi daripada usaha pembangunan yang boleh menjejaskan keaslian kedua-dua kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, kedua-dua taman tersebut merupakan kawasan hutan paya bakau yang perlu bebas daripada bentuk pembangunan pada masa depan.
Beliau berkata, kedua-duanya juga berperanan sebagai 'benteng' bagi menahan ombak, ribut dan angin kencang yang boleh mengundang sebarang kemusnahan jika berlaku pembangunan.
"Sekiranya ada cadangan pembangunan di kawasan tersebut ia perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira terhadap kepentingan khazanah alam yang terdapat di kedua-dua taman negara tersebut.
"Taman negara tersebut juga merupakan aset utama kepada sektor pelancongan daerah Pontian yang merupakan tanah Penghujung Benua Asia serta hutan paya bakau terbesar di dunia," katanya semasa merasmikan Program Menanam Pokok Bakau anjuran Persatuan Alam Sekitar Bumi Hijau (PASBH) yang disertai 60 sukarelawan di TNJTP, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Presiden PASBH, P. Sivakumar. Sebanyak 300 anak pokok bakau berjaya ditanam di TNJTP bagi membantu memelihara ekosistem di kawasan tersebut.
Suhaimi berkata, penglibatan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan masyarakat telah banyak membantu pihak TNJTP menggantikan pokok-pokok bakau yang tumbang disebabkan oleh hakisan.
Sementara itu, Sivakumar memberitahu, persatuan itu yang baru ditubuhkan tahun lalu akan menjalankan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan kerjasama pihak swasta termasuk mengadakan program kesedaran alam sekitar kepada para pelajar bagi memberi mereka pendedahan tentang pen­tingnya alam sekitar yang baik kepada kehidupan.

No comments:

Post a Comment