BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, February 24, 2011

LAKSA SATE KIAN POPULAR

UTUSAN MALAYSIA 25 FEBUARI 2011
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Pembantu gerai sibuk membakar sate untuk menu istimewa Laksa Sate di gerai Laksa Buluh 5, Pasar Pagi Simpang Empat, Alor Setar.

ALOR SETAR 24 Feb. - Pernahkah anda menikmati laksa yang dihidangkan bersama sate?
Dua juadah popular orang Malaysia itu dihidangkan dalam satu pinggan menimbulkan rasa lemak, manis, pedas dan ia sememangnya 'eksotik'.
Mungkin kombinasi makanan tersebut agak pelik bagi kebanyakan orang, namun bagi penduduk negeri ini menjamah laksa bersama sate dan kuahnya adalah satu kebiasaan.
Malah, kerana keunikan rasa dan keenakannya, hidangan itu semakin menjadi perhatian masyarakat seperti kata orang, belum rasa belum tahu, sekali rasa sepinggan tidak cukup.
Lantas jika berkunjung ke bandar ini jangan lupa menjenguk gerai Laksa Buluh 5 di pasar pagi Simpang Empat yang cukup terkenal dengan juadah laksa sate.
Pemilik gerai tersebut, Yusof Arifin, 56, berkata, hidangan laksa bersama sate serta kuahnya merupakan resipi keluarganya turun temurun iaitu sejak tahun 40-an.
"Hari ini semakin ramai yang suka hidangan sebegini baik penduduk Kedah mahupun dari negeri lain.
"Mula-mula bagi yang tidak pernah mencuba mungkin agak pelik tetapi bila sudah cuba, insya-Allah akan mahu lagi," kata Yusof.
Katanya, laksa yang menggunakan ulam istimewa seperti daun putat itu dijual pada harga RM2 sepinggan sementara sate 30 sen secucuk.
"Selalunya untuk sepinggan laksa saya hidangkan bersama lima cucuk sate ayam atau daging mengikut selera pelanggan," katanya ketika ditemui di gerainya itu baru-baru ini.
Bagi perniagaan tersebut kata Yusof, dia dibantu oleh saudaranya, Ismail Mahmud, 56, yang membekalkan sate.
"Sudah lama kami berniaga bersama di pasar malam atau pekan sehari kami akan berniaga bersebelahan," katanya lagi.
Yusof menambah, selain Simpang Empat, pasar malam dan pasar pagi di beberapa pekan kecil di daerah ini dan Pendang seperti Tokai, Kuala Sala dan Kota Sarang Semut menjadi lokasi mereka.
Kata Yusof, dalam sehari dia mampu menjual daripada 40 hingga 50 kilogram laksa bersama 1,000 hingga 2,000 cucuk sate.
"Bergantung kepada hari-hari tertentu misalnya kalau hari cuti sekolah atau musim perayaan jualan akan bertambah," katanya.
Bercerita lanjut katanya, dia pernah menerima pelanggan dari Selangor dan Perlis yang sanggup berjalan jauh untuk membeli laksanya.
"Seperti orang lain mereka mendengar tentang laksa sate ini daripada mulut orang yang pernah mencubanya. Jadi bagi yang hendak cuba rasa laksa dimakan bersama sate datanglah," celotehnya lagi.
Menurut salah seorang pelanggannya, Rokiah Razak, 56, gerai laksa sate itu memang tidak asing lagi baginya.
"Setiap hari Khamis pasti akan ke sini untuk makan laksa sate ini. Saya suka laksa bersama sate ayam kadang-kadang sepinggan tidak cukup bungkus bawa pulang lagi.
"Rasanya memang lain kerana kuah sate bercampur dengan kuah laksa itu lemak dan pedas sedikit. Itu yang sedapnya," katanya.
Seorang lagi pelanggan, Hamidah Abdul Wahab, 26, berkata, dia mendengar cerita tentang laksa sate tersebut daripada salah seorang anggota keluarganya beberapa tahun lepas.
"Betul kata orang sekali cuba memang nak lagi. Rasanya lain sangat itu yang buat laksa sate ini berbeza," katanya lagi.
Bagi penulis sendiri, laksa sate memang unik dan sedap terutama ketika mengunyah laksa bersama sate serta kuah yang telah bergaul dengan kuah kacang.

No comments:

Post a Comment