BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, February 24, 2011

SUSULAN KES BUANG BAYI: GADIS 20 TAHUN DITAHAN

SINAR HARIAN 25 FEBUARI 2011

PONTIAN - Seorang gadis berusia 20 tahun ditahan atas kesalahan cuba menyembunyikan kematian dan membuang bayi. Tertuduh dipercayai membuang mayat baru lahir di dalam tandas sebuah stesyen minyak berhampiran Kampung Api-Api, Pontian pada 20 Februari lalu. Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, siasatan awal mendapati bayi itu mati sebelum dilahirkan di dalam tandas di rumah gadis berkenaan, di Kuala Pilah pada 19 Februari lalu. “Gadis itu merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Katanya, mayat bayi itu diletakkan dalam sebuah beg kemudian dibawa menaiki motosikal yang dipandu sendiri gadis itu ke Pontian di mana mayat itu dibuang. ‘Mayat bayi itu ditemui di stesen minyak berkenaan pada pagi, Ahad (20 Februari) dan gadis tersebut ditahan tiga hari selepas itu di rumahnya sekitar jam 9 malam,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Dia (gadis) itu kini ditahan di Balai Polis Kuala Pilah untuk membantu siasatan dan sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes boleh menghubungi talian hotline di 07-2212999 atau datang terus ke balai polis berdekatan,” katanya. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
HARIAN METRO 25 FEBUARI 2011

SISWI TUNGGANG MOTOR 300 KM
Oleh Salman Hamat
am@hmetro.com.my

PONTIAN: Misteri ibu kepada bayi yang ditemui dalam mangkuk tandas di stesen minyak di Jalan Api-Api di sini, Ahad lalu, terbongkar selepas polis menahan seorang pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di rumah keluarganya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi berkata, gadis berusia 20-an itu ditahan selepas pihaknya mendapatkan gambarannya daripada pekerja stesen minyak berkenaan tidak lama selepas penemuan mayat bayi terbabit.
“Hasil maklumat, lokasi kediamannya dikesan dan kami ke sana jam 9 malam Rabu lalu, sebelum menahannya bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati gadis itu melahirkan bayi lelaki berkenaan di dalam tandas rumah sewanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan,” katanya, semalam.
Menurut Zahaliman, siasatan mendapati pelajar tahun akhir itu menunggang motosikal seorang diri sejauh kira-kira 300 kilometer dari rumah sewanya untuk ke stesen minyak berkenaan.
Beliau berkata, gadis terbabit bimbang rahsianya melahirkan anak terbongkar dan nekad untuk cuba menutup perkara terbabit.
“Siasatan mendapati bayi itu dipercayai meninggal dunia sehari selepas dilahirkan, gadis terbabit kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi, sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian jam 9 malam Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan berusia 72 tahun terkejut apabila terjumpa mayat bayi di dalam tandas sebelum memaklumkannya kepada pekerja stesen minyak itu.
Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati bayi yang dibungkus dengan kain berkenaan sudah meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment