BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, February 16, 2012

PANCIT KERETA UNTUK SAMUN MANGSA

BUTTERWORTH 15 Feb. - Modus operandi mereka adalah memancit tayar kereta sebelum menyamun ketika mangsa memberhentikan kenderaan.
Namun kerja jahat lelaki warganegara Colombia dan seorang wanita tempatan terbabit tidak kekal lama apabila ditahan sepasukan anggota polis ketika cuba menyamun seorang wanita di hadapan bank RHB di Kampung Gajah, dekat sini hari ini.
Difahamkan wanita itu membawa wang tunai berjumlah RM40,000.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kedua-dua suspek mengekori wanita terbabit dari sebuah bank di Taman Selat sebelum memancit tayar kereta mangsa ketika berhenti di lampu isyarat di hadapan Balai Polis Butterworth.
Katanya, mangsa yang menyedari sesuatu tidak kena dengan tayar keretanya terus memberhentikan kereta di hadapan bank RHB yang terletak kira-kira lima kilometer dari Taman Selat.
"Pada waktu itu, lelaki Colombia tersebut menerpa dan cuba menyamunnya, namun kejadian itu disedari anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan terbabit lalu menahan suspek serta teman wanitanya yang menunggu di dalam kereta.
"Hasil pemeriksaan di dalam kereta Honda City suspek, polis menemui beberapa barangan seperti topi besbol, topeng ski dan pisau yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mereka.
"Selain itu, polis turut menemui sejumlah duit dalam pelbagai mata wang, komputer tablet, telefon bimbit dan kamera digital disembunyikan di dalam kereta terbabit," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Butterworth di sini hari ini.
Ayub berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk siasatan lanjut.
Katanya, dengan penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes samun dengan taktik sama sejak tahun lalu.
Tambah beliau, hasil siasatan awal juga mendapati wanita tempatan berusia 43 tahun dan beralamat di Petaling Jaya, Selangor itu memiliki rekod jenayah lampau kerana memiliki barang curi.
Lelaki Colombia itu pula dipercayai berada melebihi tempoh di negara ini sejak setahun lalu.
Ayub berkata, polis masih menyiasat penglibatan mereka dalam kes-kes serupa di negeri lain dan mengesan rakan-rakan suspek yang masih bebas.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment