BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, February 24, 2012

LOJI JANAKUASA BARU RM 5 BILION DI PONTIAN



MALAKOFF Corporation Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Bin Energy Issuer Bhd (TBEI) melantik konsortium yang diterajui Alstom Power Systems SA untuk kerja reka bentuk, kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan loji penjanaan tenaga di Johor bernilai hampir RM5 bilion.

Pengeluar tenaga persendirian terbesar negara itu semalam memeterai perjanjian kontrak bagi kerja itu dengan konsortium berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh 48 bulan daripada notis pelaksanaan.

Malakoff dalam kenyataannya berkata, projek itu membabitkan pembekalan peralatan utama penjanaan tenaga untuk loji tenaga berkapasiti 1,000 MegaWatt (MW) menggunakan arang batu, bersebelahan kemudahan sedia ada di Tanjung Bin, Pontian.


Mengulas perkembangan itu, Ketua Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil, berkata projek yang dijadual siap pada 2016 itu, akan meningkatkan kapasiti penjanaan sedia ada Tanjung Bin daripada 2,100 MW kepada 3,100 MW. 
“Perjanjian ini adalah satu lagi langkah kemajuan kepada Malakoff dalam usaha mengukuhkan kedudukan kami bukan saja sebagai peneraju pengeluar tenaga bebas saja di Malaysia, tetapi juga di rantau ASEAN. 
“Kami gembira rakan konsortium projek ini menerapkan penggunaan teknologi moden dalam loji baru berkenaan bagi memastikan kami mampu menjana tenaga elektrik pada tahap kecekapan yang tinggi, sementara meminimumkan kesan kepada alam sekitar,” katanya. 
Di bawah projek itu, Alstom akan menerajui konsortium itu yang termasuk Mudajaya dan Shin Eversendai bagi menyelia kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan loji berkapasiti 1,000 MW itu. 
Beliau berkata, projek loji jana kuasa 1,000 MW itu dianugerahkan kepada Malakoff, yang juga anak syarikat kepada MMC Corporation Bhd itu pada Jun tahun lalu susulan daripada proses bidaan yang kompetitif, yang diselia oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia. 
Katanya, apabila siap kelak, loji itu akan menyalurkan kapasiti penjanaan tenaga kepada Tenaga Nasional Bhd, menerusi perjanjian pembelian tenaga selama 25 tahun.


“Operasi dan penyelenggaraan bagi loji jana kuasa baru itu akan dilaksanakan oleh Teknik Janakuasa Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malakoff,” katanya. 
Dalam kenyataan berasingan, Mudajaya Corp akan bertanggungjawab bagi mereka bentuk dan membina kerja struktur dan awam, membabitkan kontrak bernilai RM1 bilion. 

No comments:

Post a Comment