BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, February 9, 2012

SALUN IKUT SYARIAT ISLAM

Siti Hajar Jamil di hadapan kedai miliknya, Siti Salon di Taman Daya, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU – 8 Feb. Jarang sekali kita dengar kedai gunting atau salun rambut berkonsepkan salun muslimah dan lelaki mengikut syariat Islam, namun hakikatnya kedai seumpama itu wujud di negara ini.
Malah salun yang menawarkan konsep sedemikian sudah mula diterima ramai dan bertitik-tolak daripada itu Siti Hajar Jamil, pengasas Akademi Siti Salon (ASS) mula mengorak langkah dengan menubuhkan salun mengikut syariat Islam.
Beliau bukan sahaja mewujudkan salun rambut, kecantikan dan spa, malah menubuhkan akademi bagi melatih tenaga mahir dalam bidang berkenaan.
Akademi dan salun pertama perkhidmatan yang bergerak atas nama syarikat Siti Salon Sdn. Bhd. itu mula ditubuhkan pada 1990 di Seri Manjung, Perak sebelum melebarkan sayapnya ke Taman Daya, Johor Bahru.
ASS di negeri ini dibuka sejak tiga tahun lalu di rumah kedai tiga tingkat di Taman Daya, sekali gus menjadikannya pusat sehenti yang bukan hanya menawarkan perkhidmatan mendandan rambut, spa dan kecantikan, malah memberi latihan dan perkhidmatan.

Ia juga bukan dikhususkan untuk golongan wanita sahaja, malah turut menyediakan ruang bagi lelaki di premis Salon Ar-Rijal yang terletak di tingkat dua bangunan tersebut.
“Saya bermula secara kecil-kecilan, namun terpanggil untuk turut menyediakan bidang kemahiran dan alhamdulillah ASS berjaya ditauliahkan sebagai Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia sejak 2002.
“Tujuan saya hanya mahu melahirkan lebih ramai usahawan dan pemilik salun kecantikan khususnya dalam kalangan bumiputera yang kita lihat kurang menceburi bidang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bidang kecantikan sebenarnya mempunyai potensi besar untuk berkembang dan memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang serius mengusahakannya dan peluang itu perlu direbut oleh orang Melayu.
“Bidang ini masih kurang disertai oleh orang Melayu. Siti Salon berkonsepkan Islam dengan semua perkhidmatan dan latihan menekankan pendekatan nilai-nilai murni mengikut syariat Islam.
“Sebagai contoh, dalam modul mekap pengantin, agama Islam melarang untuk mencabut bulu kening dan di Siti Salon modul tersebut akan diajar menggunakan kaedah tertentu tanpa perlu mencabut bulu kening tetapi masih akan kelihatan cantik,” katanya.
Siti Hajar berkata, bidang kemahiran yang khusus itu perlu diadunkan bersama pembentukan jati diri menerusi program bina insan.

Menurutnya, latihan yang ditawarkan bukan sahaja terbuka kepada mereka yang masih tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi juga sesuai bagi golongan berkeluarga dan lepasan sekolah sementara menunggu keputusan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Rebutlah peluang ini kerana dengan adanya kemahiran, mereka boleh gunakan semasa di kampus untuk mencari wang tambahan bagi menampung perbelanjaan di universiti tanpa menyusahkan ibu bapa,” katanya.
Sepanjang penubuhan ASS, Siti Hajar berkata, ramai pelajar cemerlang dan berketerampilan telah berjaya dilahirkan dan mereka kini aktif bekerja sebagai tenaga kerja mahir atau mengusahakan salun sendiri di seluruh negara.
Antara kursus yang ditawarkan di ASS adalah Jurukecantikan Tahap 1 dan 2, Pendandan Rambut Tahap 1 dan 2, Mekap Pengantin, Dandanan Rambut, Kecantikan dan Spa, Dandanan Rambut dan Gunting Rambut (Lelaki).
Mereka yang berminat mengikut kursus di ASS boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghantar e-mel ke akademisitisalon@gmail.com atau melayari laman web www.akademisitisalon.com.my atau facebook ASS

No comments:

Post a Comment