Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata apabila siap kelak, piawaian itu akan digunakan sebagai garis panduan untuk persijilan halal bagi barangan berkenaan dalam usaha menjaga sensitiviti pengguna beragama Islam.

"Bila cakap tentang persijilan halal, masyarakat hanya fikir tentang makanan atau minuman sedangkan barangan yang kita pakai setiap hari mungkin tidak halal.
Jadi itu pentingnya standard halal untuk barangan itu," katanya kepada Bernama. 
Beliau berkata penyediaan piawaian halal itu yang dimulakan pada 2011 dijangka siap tahun ini untuk diguna pakai tahun depan.

Hakimah berkata buat masa ini, tiada sebarang peraturan khusus termasuk mengenai keperluan mengasingkan barangan kulit, tulang atau bulu yang tidak halal dengan produk halal, sebaliknya ia dibuat atas inisiatif pemilik premis sendiri.
Dalam perkembangan lain, Hakimah berkata sehingga 31 Disember lepas, 366 hotel di seluruh negara mendapat persijilan halal daripada Jakim.

Beliau berkata pengusaha hotel, produk dan premis makanan digalak supaya mendapatkan sijil dan logo halal daripada Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (Main) untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan mereka sejajar dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

Mengikut akta itu, hanya Jakim dan Main boleh mengeluarkan sijil dan logo halal. - Bernama