BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, December 29, 2013

OLD TIMER KOPI-BB BANGI


Kopi dan pisang bakar kelapa coklat.
DI lihat pada namanya, mungkin ramai tidak menyangka bahawa cafe yang terletak di lot tepi di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor ini kepunyaan 100 peratus anak Melayu.
Walaupun nama yang diberi ialah Old Timer Kopi, menurut pemiliknya, Muhamad Faiz Ismail, 28, ia adalah bertepatan dengan konsep kopitiam yang dibawanya.
Telah memulakan operasi sejak awal tahun 2009, Old Timer Kopi sememangnya merupakan sebuah kopitiam yang pastinya menyediakan hidangan yang memenuhi cita rasa anda.
Tidak terhad hanya kepada sajian Melayu, kafe ini menyediakan pelbagai juadah yang boleh dirangkumi sebagai satu Malaysia.
Ini kerana menurut Muhamad Faiz, sajian pelbagai tersebut adalah untuk memenuhi cita rasa serta permintaan daripada para pelanggannya yang rata-rata terdiri daripada kaum Cina.
"Boleh dikatakan di Old Timer Kopi, 80 peratus pelanggan kami adalah daripada kaum Cina, manakala selebihnya Melayu dan India.
"Jadi kami mengambil keputusan untuk menyediakan hidangan atau masakan yang menjurus kepada kaum tersebut, lagi pun orang Melayu juga suka menikmati masakan Cina yang disajikan di sini.
"Begitupun, kami tidak lupa dengan sajian Melayu yang turut mendapat sambutan daripada semua kaum," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Lot 39-G-1, Jalan Medan PB1A, Medan PB, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
Dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 1 pagi, Old Timer Kopi menyediakan lebih daripada 60 menu manakala air pula lebih daripada 100 pilihan.
Berbicara lebih lanjut mengenai sajian yang disediakan di situ, Muhamahad Faiz menyatakan pihaknya menyediakan hidangan secara sihat di mana penggunaan bahan-bahan berlemak seperti santan serta minyak seboleh-bolehnya dikurangkan atau tidak digunakan langsung.
Bahan-bahan tersebut sebaliknya akan digantikan dengan penggunaan susu serta mentega.
Ini kerana kata Muhamad Faiz lagi, menu yang disajikan di kedainya banyak menggunakan bahan-bahan tersebut jadi adalah lebih baik dia memikirkan sesuatu ke arah kebaikan.
Apa yang pasti, kesemua hidangan yang disediakan di Old Timer Kopi dihasilkan menerusi dapur utama yang terletak di Kajang dan diselia oleh seorang chef yang berpengalaman serta profesional.
Muhamad Faiz memberitahu, Old Timer Kopi juga mempunyai sebuah lagi cawangan yang terletak Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan pengwujudan dapur utama adalah bagi mengawal serta menjaga kualiti serta rasa.
"Cawangan di TTDI baharu sahaja dibuka awal November lalu jadi dalam usaha untuk menjaga kualiti serta memberikan rasa yang sama, kesemua hidangan yang disajikan disediakan di dapur utama.
"Selain itu, kesemua pekerja yang diambil bekerja adalah terlatih," ulasnya lanjut.
Lebih menarik, kebanyakan menu yang ditawarkan adalah resipi ibunya sendiri Latifah Haron, yang telah diolah semula oleh chef profesional untuk memenuhi cita rasa terkini pelanggan.
Antara menu-menu yang menjadi kegemaran ramai ialah mi kari, mi wantan, asam pedas jenahak Old Timer dengan nasi putih, mi rebus Muar Old Timer dengan rusuk kambing dan banyak lagi.
Selain itu, antara menu tradisional Melayu yang diketengahkan ialah lempeng kari, pisang bakar keju coklat, pisang bakar kelapa coklat, dan pisang bakar dengan ais krim.
Tidak ketinggalan hidangan sate yang turut disajikan pada sebelah malam di cawangan Bangi.

No comments:

Post a Comment