BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, December 28, 2013

RESTORAN MASTER YEN TEPPANYAKI & GRILL-IPOH, PERAK


SEMUA tukang masak Master Yen Teppanyaki and Grill perlu mengikuti kursus selama sebulan
 bagi memahirkan mereka dengan teknik memasak teppanyaki.
KEUNIKAN serta keenakan sajian dari negara matahari terbit, Jepun sering mendapat perhatian tidak kira di mana sahaja.
Kriteria hidangannya yang bukan sahaja mudah dimasak, malah boleh dimakan mentah atau dicicah dengan sos sahaja membuatkan sesiapa sahaja teringin untuk menikmatinya.
Keistimewaannya itu menjadikan ia mudah diterima pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.
Bagi penggemar hidangan Jepun, mereka kini tidak lagi perlu pergi jauh kerana restoran Master Yen Teppanyaki and Grill yang baru dibuka di Ipoh, Perak pada awal bulan ini menyediakan pelbagai hidangan enak yang pasti membuka selera.
Menurut pemiliknya, Shahrin Nizam Hussin Shah, 37, teppanyaki adalah salah satu jenis makanan Jepun yang menggunakan periuk leper yang diperbuat daripada besi (teppan) manakala 'yaki' pula bermaksud goreng.
Jelasnya, antara bahan ramuan yang biasa digunakan dalam masakan ini adalah daging, udang, ayam, udang karang dan pelbagai jenis sayuran yang biasanya dimasak menggunakan minyak kacang soya.
Tambah beliau, jika mengikut resipi asli Jepun, mereka turut menggunakan minyak sayuran, minyak daripada lemak haiwan dan mirin iaitu sejenis arak sebagai antara bahan untuk menyedapkan teppanyaki.
''Kebanyakan restoran Jepun di sini masih menggunakan mirin dalam masakan mereka, namun restoran kami tidak menggunakannya dan diganti dengan mentega. Insya-Allah, teppanyaki di sini halal dan rasanya juga masih sama seperti yang menggunakan mirin.
''Begitu juga harga yang kami tawarkan sangat berpatutan dan lebih rendah berbanding harga di restoran teppanyaki yang lain. Harga makanan di sini bermula daripada RM4.50 hingga RM16 sahaja," katanya ketika ditemui di restorannya yang terletak berhadapan Hotel Kinta River Front, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Menurut Shahrin Nizam, Master Yen Teppanyaki and Grill yang dibuka pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam itu menawarkan lima jenis teppanyaki iaitu udang, ikan, daging, ayam dan salmon.
Katanya, setiap set turut disertakan nasi dan lobak masin bercampur bawang putih yang dimasak dengan air gula.
"Pengunjung juga boleh memesan sembilan lagi hidangan tambahan termasuk sukiyaki iaitu sejenis sup Jepun yang mengandungi pelbagai jenis sayuran dan cendawan.
"Selain sukiyaki, pengunjung juga boleh memesan salmon sashimi, lamb chop, beef steak, chicken chop, california roll, salmon temaki dan sate sotong sebagai pembuka selera, selain teh hijau," katanya.
Restoran ini boleh memuatkan 24 pengunjung dalam satu-satu masa dan pengunjung boleh mendapat makanan yang dipesan dalam masa 10 minit.
''Berbeza dengan makanan kita, teppanyaki dimasak di hadapan pelanggan dan makanan dihidangkan terus sebaik sahaja dimasak. Jadi, makanan itu masih segar dan dimakan ketika masih panas," katanya yang berhasrat membuka cawangan Master Yen Teppanyaki and Grill di Pulau Pinang.
Shahrin Nizam memberitahu, kesemua pekerjanya juga mahir memasak teppanyaki dan mereka juga telah dihantar berkursus selama sebulan untuk memahami dengan lebih mendalam bidang masakan berkenaan.
''Semua bahan asas teppanyaki telah diperap terlebih dahulu dengan herba rahsia kami selama sehari dan hanya perlu dicampur mentega, serbuk lada putih dan garam sahaja semasa dimasak.
''Bermula 18 November lalu, kami juga telah membuka pesanan untuk makan tengah hari yang mana pelanggan boleh membuat pesanan masing-masing antara pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi sebelum mengambilnya pada waktu yang dikehendaki," katanya.
Untuk keterangan lanjut atau menempah makanan di Master Yen Teppanyaki and Grill, bolehlah hubungi Shahrin Nizam di talian 012-5595656 atau 012-4411250 atau datang terus di restoran berkenaan yang terletak di hadapan Hotel Kinta River Front.

No comments:

Post a Comment