BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, December 2, 2013

SERBUK DADIH KAYLA DENGAN 13 PERASA


NUR SHAHAR dan Rossuhaida menunjukkan produk serbuk dadih Khayla yang turut dipasarkan di Tesco 
seluruh negara sejak September lalu.


PERNAHKAH anda terfikir untuk menyediakan dadih lazat semudah memasukkan serbuk dadih ke dalam air, didihkan campuran itu dan terus sejukkannya?
Selain dapat disediakan dalam masa yang singkat, dengan menggunakan produk serbuk dadih anda tidak perlu lagi tercari-cari bahan lain seperti susu, gula atau agar-agar ketika ingin membuat dadih sendiri di rumah.
Malah, lebih menarik lagi dengan serbuk dadih tersebut anda boleh menghasilkan dadih pelbagai perisa daripada coklat sehinggalah buah durian.
Diberi nama Khayla, perniagaan produk serbuk dadih tersebut dirintis oleh pasangan suami isteri dari Kedah, Nur Shahar Ramli, 40, dan Rossuhaida Mohd. Yusuf, 37.
Pernah bertugas sebagai jurutera perisian di Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), namun demi minat dalam bidang perniagaan Nur Shahar nekad berhenti kerja dan memulakan syarikat Aisy Vision Enterprise bersama isterinya.
Mereka menghasilkan produk inovatif dan unik iaitu serbuk dadih pelbagai perisa diberi jenama Khayla yang ternyata mudah mendapat tempat di hati pengguna.
Serbuk dadih hanya perlu dimasak dengan air mendidih sebelum disejukkan di dalam peti sejuk dalam anggaran masa sekitar sejam.
“Pada tahun 2007, saya dan isteri berhenti kerja dan kami berdua melakukan kajian dan penyelidikan dalam perniagaan serbuk dadih. Alhamdulillah pada tahun 2009, kami akhirnya mula merintis perniagaan itu,” kata Nur Shahar.
Beliau ditemui di Tapak Ekspo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kedah 2013 di Dataran Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

PILIH dadih strawberi atau durian kampung mengikut cita rasa anda.


Ujarnya, pada permulaannya beliau dan isteri mendapatkan resipi daripada seorang saudara sebelum mengolahnya berdasarkan kajian dan penyelidikan sendiri.
“Sewaktu mula-mula dahulu kami minta saudara-mara dan rakan rasa secara percuma dadih pelbagai perisa ini untuk dapatkan komen yang jujur.
“Daripada situlah, saya dan isteri cuba berkali-kali lagi, bagi menghasilkan serbuk dadih terbaik dan lazat,” katanya yang berasal dari Seberang Perak, Alor Setar.
Ujar Nur Shahar, ketika memulakan Aisy Vision Enterprise pada tahun 2009, mereka mendapat suntikan modal melalui pinjaman RM30,000 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
“Selepas itu, syarikat mendapat geran bantuan sebanyak RM30,000 daripada Majlis Pembangunan Ekonomi Belia untuk meningkatkan kualiti pembungkusan serbuk dadih ini,” katanya.
Dengan kualiti pembungkusan yang lebih segar, menurut Nur Shahar jualan bulanan serbuk dadih Khayla meningkat daripada RM7,000 kepada RM30,000 sebulan.
Rossuhaida berkata, Khayla dipasarkan dengan 13 jenis perisa pada masa ini antaranya asli, coklat, jagung, vanila, strawberi, oren, pandan, tembikai susu, durian kampung, mangga, kapucino, keladi dan beri biru.
Idea menggunakan buah-buahan tempatan termasuk durian katanya, dicetuskan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Tambah Rossuhaida, buah mangga chokanan diperoleh dari ladang mangga milik MADA, strawberi dari ladang Cameron Highlands dan durian serta nanas dari peladang berdekatan.
Ujarnya, dengan lebih 100 ejen, Khayla kini sudah boleh didapati di pasar raya besar Tesco terpilih di seluruh negara sejak September lalu.
Kata beliau, pihaknya mempunyai perancangan untuk menembusi pasaran luar negara, namun ia terpaksa ditangguhkan sementara bagi memberi tumpuan kepada pasaran di pasar raya besar dalam negara.
“Kita juga merancang untuk membesarkan kilang di Lembah Paya Pahlawan di Jitra bagi membolehkan kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan mengikut permintaan,” jelasnya.
Rossuhaida berkata, perjalanan perniagaannya banyak didukung dengan bantuan berterusan daripada MADA, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“MADA banyak membantu dengan memanggil kami menyertai ekspo dan pameran di seluruh negara. Ia membantu dalam mempromosikan produk dadih Khayla kepada masyarakat,” jelasnya.
Justeru, Rossuhaida meminta semua usahawan menjalinkan hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan dalam memajukan perniagaan.

No comments:

Post a Comment