BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, December 18, 2013

PENDUDUK BIMBANG AIR LAUT MASUK KAMPUNG

  • Bimbang air laut masuk kampung
  • Khalid (kanan) menunjukkan keadaan benteng yang pecah di kampung 
  • Tanjung Piai berhampiran taman negara.
 1 / 1 
PONTIAN - Penduduk di Kampung Tanjung Piai dan beberapa kampung di sekitar Serkat, di sini bimbang kemungkinan berlaku banjir disebabkan benteng penahan air laut yang pecah sebelum ini masih belum dibaiki.

Benteng yang terletak berhampiran Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) pecah sepanjang 10 meter, selepas fenomena air pasang besar terjadi, minggu lalu.

Ketua Kampung Tanjung Piai, Rohaizad Abdul Hamid berkata, benteng penahan air laut begitu penting sekali kepada penduduk.

Ini kerana katanya, kedudukan kampung terletak hanya beberapa meter dari laut dipisahkan oleh benteng penahan air laut sepanjang kira-kira 3 kilometer.

“Sebelum ini, pokok bakau menjadi penahan air laut namun disebabkan hakisan yang semakin teruk sejak 10 tahun lalu, benteng terpaksa di bina.

“Benteng itu berfungsi mengelak air laut dari terus melimpah ke kawasan rendah di kampung-kampung,” katanya.

Menurutnya, keadaan benteng yang pecah itu dibimbangi akan mengakibatkan limpahan air laut berlaku terutamanya ketika air pasang besar berlaku.

“Pihak yang berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keadaan benteng yang pecah dan telah menghantar pegawai untuk melihat benteng itu.

“Diharapkan masalah benteng tersebut segera diatasi dan menjadikan situasi banjir kilat yang berlaku di Tampok Laut Benut, akibat benteng pecah sebagai pengajaran,” katanya.

Penduduk, Mohd Ali Shah, 45, berkata, air pasang yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini, meningkatkan risiko kerosakan benteng yang lebih teruk sehingga mengakibatkan limpahan air laut ke kawasan darat terjadi.

“Seterusnya menyebabkan kejadian banjir di beberapa buah kampung yang terletak tidak jauh dari benteng,” katanya.

Sementara itu Pengurus TNJTP, Khalid Zahrom, berkata benteng yang pecah itu menyebabkan kawasan laluan jalan raya ke taman negara dipenuhi air laut yang melimpah selepas air pasang berlaku.

“Air laut yang melimpah di atas jalan raya, menyukarkan pengunjung untuk datang ke taman negara.

“Keadaan itu juga menimbulkan rasa kurang senang kerana pengunjung perlu menunggu sehingga air laut surut sebelum dapat melalui jalan tersebut untuk ke taman negara,” katanya.
Justeru beliau meminta agar pihak yang berkaitan dapat melakukan tindakan segera membaiki benteng yang pecah itu bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

No comments:

Post a Comment