BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, December 13, 2013

PENJAWAT AWAM PERLU BERSUKAN DEMI KESIHATAN


PASUKAN Majlis Daerah Pontian gembira setelah muncul juara karnival sukan agensi kerajaan daerah Pontian 
sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Pontian.

PONTIAN 12 Dis. - Kakitangan awam perlu mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan mereka sentiasa berada di tahap terbaik bagi melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan melalui pelbagai aktiviti anjuran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon berkata, kajian menunjukkan hanya 30 peratus rakyat di negara ini bersukan dan beriadah pada setiap hari dan jumlah itu masih jauh daripada sasaran 50 peratus pada tahun 2020 yang bertujuan melahirkan masyarakat yang sihat dan cerdas.
"Sukan juga merupakan medium memupuk perpaduan serta meluaskan pergaulan antara kaum. Walaupun sibuk dengan tugas seharian, soal penjagaan kesihatan diri perlu diberikan perhatian supaya tidak akan mengganggu tugas seharian di pejabat dan alasan tiada ruang dan peluang tidak timbul kerana banyak gelanggang sukan disediakan.
"Slogan ' Malaysia Cergas' di bawah Kementerian Belia dan Sukan diharap dapat meningkatkan penglibatan orang ramai di dalam aktiviti sukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Keceriaan Bangunan dan Karnival Sukan Antara Agensi Kerajaan Daerah Pontian Sempena Keputeraan Sultan Johor di sini semalam.
Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Miswan Yunus; Pentadbir Tanah Pontian, A. Rahman Salleh dan Pegawai Belia dan Sukan, Muzaizi Mohamad.
Jabatan Kerja Raya (JKR) muncul johan pertandingan keceriaan bangunan, membolehkan mereka pulang dengan wang tunai RM10,000 sementara tempat kedua dan ketiga jatuh kepada Pejabat Kesihatan dan Pejabat Pertanian yang sekadar berpuas hati dengan RM700 dan RM500.
Karnival sukan dimenangi oleh Majlis Daerah Pontian sebagai juara keseluruhan, menewaskan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian dan Syarikat Air Johor Holding (SAJH) Pontian.
Menurut Muji, pelbagai strategi dan pelan tindakan akan digunakan untuk meningkatkan kesihatan masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembangunan yang seimbang serta kestabilan politik dan keharmonian kehidupan rakyat pelbagai kaum serta peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.

No comments:

Post a Comment