BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 23, 2014

PENAMBAKAN SELAT JOHOR TAK PERLU EIA

  • Penambakan Selat Johor tidak perlukan EIA
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Kerja penambakan laut bagi projek "Forest City" yang dibimbangi Singapura berkemungkinan memberi kesan terhadap alam sekitar republik itu, tidak memerlukan laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) kerana keluasan yang ditambak tidak melebihi 50 ekar (20 hektar).
  
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mokhtar Abdul Majid, pada ketika ini kerja penambakan laut di Selat Johor, berhampiran Laluan Kedua, Gelang Patah itu hanya melibatkan kawasan seluas 49 ekar (19.6 hektar).
  
"Memandangkan keluasan kawasan yang ditambak tidak melebihi 50 ekar, maka ia tidak memerlukan laporan EIA," katanya kepada Bernama hari ini ketika ditanya tentang projek penambakan laut yang mendapat perhatian kerajaan Singapura itu.
  
Beliau mengesahkan projek penambakan laut di Selat Johor terbabit dilaksanakan oleh syarikat pemaju daripada China, Country Garden Holdings Ltd dan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).
  
Mokhtar berkata, kerja penambakan laut itu bermula pada awal Mac lepas dan dijangka mengambil masa selama lapan bulan untuk siap.

Dua hari lepas, Kementerian Luar Singapura menyatakan kebimbangannya tentang kemungkinan kesan merentasi sempadan ke atas republik itu akibat projek pembangunan hartanah itu di Selat Johor.
  
Jurucakapnya berkata ada kewajipan antarabangsa bagi pihak berkuasa Malaysia serta Singapura untuk bekerjasama dalam perkara itu dan meminta Malaysia mengemukakan maklumat berkenaan kerja penambakan terbabit.
  
Mokhtar berkata, pihak JAS Johor telahpun mengemukakan maklumat tertentu berkenaan projek penambakan laut "Forest City" seluas 49 ekar itu kepada ibu pejabat JAS bagi tindakan lanjut.
  
Selain penambakan laut melibatkan kawasan seluas 49 ekar, pihak JAS Johor katanya, turut dimaklumkan terdapat cadangan tambahan untuk menambak 5,000 ekar lagi di bawah projek "Forest City" itu.
  
Bagaimanapun, katanya pihak berkenaan perlu mengemukakan cadangan terperinci tentang penambakan laut itu dan laporan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) kepada ibu pejabat JAS.
  
Memandangkan sehingga kini belum ada cadangan secara rasmi, mahupun laporan DEIA tentang cadangan penambakan kawasan seluas 5,000 ekar di Selat Johor itu, beliau berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut tentangnya.

No comments:

Post a Comment