BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, September 22, 2014

KULCATS BARRIO- TTDI KL



Rata-rata remaja beranggapan, pemilihan tempat makan mestilah mempunyai ciri-ciri seperti sedap, murah, selesa dan semua itu boleh didapati di kedai ini.
Bermula dengan katering dan juga pakaian jenama tempatan, Kulcats memberikan satu pengalaman baru kepada pengunjung sehinggakan ada pelanggan yang datang dari negara seberang tambak Johor, semata-mata mahu menjamu selera di kedai ini.
Salah seorang pemiliknya, Mohd Nurazman Jamaluddin berkata, konsep Kulcats menerapkan elemen seperti sukan lasak, basikal, skateboard, bola sepak, seni grafiti dan sebagainya bagi menarik golongan muda untuk menikmati juadah di sini.
“Nama Kul membawa maksud Kuala Lumpur dan Cats mewakili krew-krew kedai ini yang terdiri daripada pelbagai cabang kerja antaranya, tukang masak, pemain sukan lasak, pengurusan acara dan sebagainya.
“Adunan pelbagai kriteria ini melahirkan Kulcats yang mampu menyediakan makanan enak pada harga berpatutan, selain mempunyai elemen-elemen dari Amerika Syarikat, Perancis dan Itali," katanya.
Kulcats Barrio sudah dibuka hampir dua tahun lalu dan telah mengembangkan perniagaannya di sebuah lagi premis berhampiran dengan nama Kulcats Pastel yang mengkhususkan sajian pastri seperti kek, kek cawan, sandwic dan sebagainya.
Seorang lagi pemilik yang khusus dalam bidang pastri di kedai ini, Mohd Zulazzeriq Esmail berkata, Kulcats Pastel pada mulanya diletakkan di bawah satu bumbung bersama Kulcats Barrio, namun permintaan yang tinggi terhadap hidangan tersebut mendorong mereka mengkhususkan Kulcats Pastel sebagai sebuah cawangan yang hanya menjual pelbagai jenis pastri dan kek sahaja.
“Selepas setahun Kulcats Barrio beroperasi, kami membuka sebuah lagi cawangan di bawah nama Kulcats Pastel bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang hanya untuk menikmati juadah pastri kami.
“Ia memberikan lebih ruang dan pilihan kepada pelanggan kerana Kulcats Barrio sentiasa penuh dan pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk menjamu selera. Mereka yang singgah makan di Kulcats Pastel juga boleh memesan makanan dari menu yang terdapat di Kulcats Barrio," jelasnya.
Bagi mereka yang menjamu selera di sini, pastinya akan merasakan satu suasana lain daripada yang lain kerana persekitaran yang terdapat di situ mampu membuatkan pelanggan berasa tenang dan selesa.
Pelanggan yang datang rata-rata terdiri daripada anak muda dan juga ada yang hadir bersama keluarga, membuatkan tempat ini menjadi pilihan pelbagai lapisan masyarakat.
Pelbagai sajian ditawarkan di bawah lingkungan harga RM50 yang pastinya memuaskan hati pelanggan yang mahukan makanan dan tempat makan yang selesa.
Masa beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 11 malam untuk Kulcats Barrio, manakala dari pukul 8 pagi hingga 10 malam di Kulcats Pastel. Ini kerana Kulcats Pastel turut menyajikan set hidangan untuk sarapan.
Bagi mereka yang tidak mahu menunggu lama, bolehlah menghubungi Kulcats untuk tempahan meja. Segala informasi boleh didapati di laman Facebook Kulcats atau Instagram Kulcats atau Kulcats_pastel. -

No comments:

Post a Comment