BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, September 15, 2014

SOLAT & KESIHATAN

Solat merupakan ibadah harian yang dilakukan sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari. Bagaimanapun banyak yang belum diketahui bukan saja tentang solat tetapi juga hikmah di sebalik keperluan mengambil air sembahyang atau wudhu.
Kesempatan menemu bual Dr. Azman Ibrahim, doktor gigi lulusan Universiti Baghdad, Iraq selepas ceramahnya tentang Solat dan Sains di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya merungkai pelbagai persoalan berkaitan solat dan kesihatan apabila dilakukan dengan sempurna dan tertib.
"Saya mula menjalankan kajian solat dan kesihatan semasa melanjutkan pelajaran di Baghdad memandangkan bandar berkenaan adalah gedung ilmu yang terkemuka suatu ketika dulu," katanya.
Menurut Dr. Azman, terlalu banyak hikmah mengenai wudhu dan solat yang boleh diketengahkan dan dikaji bukan saja oleh saintis Islam dahulu malah saintis bukan Islam di zaman ini.
"Misalnya pakar perubatan mendapati di bawah lapisan kulit manusia terdapat banyak mikroorganisma yang hidup secara komensalisme dan wudhu serta mandi ialah cara membersihkan badan daripada bakteria selepas melakukan pelbagai aktiviti harian," katanya.

Apabila bakteria terkena air ia akan mati dan tidak menjangkiti orang lain sekali gus menjadikan badan bebas daripada jangkitan dan wabak penyakit tetapi dalam keadaan tiada air, umat Islam dibolehkan bertayamum untuk bersuci.
"Apabila bakteria terkena air ia akan mati disebabkan oleh perbezaan tekanan osmosis di dalam badan sehingga air boleh menerap masuk ke dalam badan dan mati akibat terhidrasi.
"Tayamum pula ialah satu simbol bersuci yang dibolehkan kerana darurat dan boleh menggantikan mandi dan wudhu semasa ketiadaan air atau ketika sakit dan tidak boleh terkena air. Ini bermakna tayamum dan wudhu boleh mematikan kuman yang boleh memudaratkan tubuh badan manusia," tambah Dr. Azman.
Merujuk kepada buku tulisan Mukhtar Salam, Prayers: A Sport for the Soul and Body, berwudhu dengan sempurna ialah amalan yang mampu mencegah seseorang daripada kanser.
Dr. Azman berkata, anggota wudhu seperti muka, tangan hingga siku, kaki, kepala dan telinga ialah anggota yang terdedah semasa menjalani aktiviti harian dan dijadualkan untuk dibasuh sekurang-kurangnya lima kali sehari.
Sementara itu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan doktor dari Universiti Iskandariah, Mesir mendapati amalan memasukkan air ke dalam hidung semasa wudhu dapat mencuci rongga hidung daripada kuman yang melekat pada bulu hidung dan secara tidak langsung dapat mencegah penyakit seperti resdung dan sinus.

Titik

Dalam tradisi perubatan Cina pula, apa yang lebih memeranjatkan ialah anggota wudhu meliputi sebahagian besar kawasan titik akupuntur. Dalam ilmu akupuntur terdapat 700 kawasan aktif biologi di mana ia akan merangsang sistem saraf aktif yang terdapat pada bahagian bawah kulit.
Daripada sejumlah titik berkenaan 66 daripadanya ialah kawasan aktif yang sangat sensitif dan 61 berada di kawasan wudhu utama manakala bakinya di kawasan buku lali dan lutut.
"Kerana itu antara tertib semasa berwudhu ialah setiap anggota wudhu perlu digosok dengan teliti dan tidak memadai hanya sekadar disiram. Contohnya amalan membasuh muka dengan teliti akan merangsang sistem usus, perut pundi kencing dan sistem reproduksi wanita.
"Manakala membasuh dan menggosok kaki kanan dapat merangsang sistem tulang, hempedu dan kelenjar tiroid," katanya.
Dr. Azman menambah, ilmu wiring sistem saraf tubuh manusia telah dikuasai oleh pengamal perubatan Cina sejak beribu tahun lalu dan sebenarnya Islam telah lama sampai ke negara China sejak zaman sahabat Rasulullah sebelum ke Tanah Melayu," katanya.
Menyentuh tentang kewajipan solat lima kali sehari, Dr. Azman berkata, ia umpama jumlah kalori tenaga yang diperlukan oleh tubuh.
"Sebagaimana tubuh manusia yang kekurangan makanan, solat memberikan makanan rohani dan jasmani kepada tubuh," katanya.
Ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh pengarang buku The Return to Religious, Dr. Henry C. Link yang juga seorang pakar ujian psikologi membuat kesimpulan bahawa beliau menyedari kepentingan kepercayaan dan keimanan kepada agama dalam kehidupan manusia.

Keperibadian

Beliau mendapati mereka yang mempunyai pegangan agama dan menghadiri dan menjalankan upacara keagamaan memiliki keperibadian yang lebih kuat berbanding mereka yang tidak mempunyai pegangan agama.
Sementara itu Dr. Azman berkata, jadual solat dalam Islam ialah sesuatu yang unik kerana tidak terdapat dalam agama lain sembahyang dilakukan mengikut keadaan perubahan warna dan tenaga.
Tidur waktu malam menyebabkan jiwa berada dalam gelombang delta dengan frekuensi di bawah 4 Hertz dan seluruh tubuh akan berehat tetapi menjelang tengah malam atau sepertiga malam, alam mula bersinar dengan warna putih, merah jambu dan ungu yang selaras dengan frekuensi kelenjar pineal (otak kecil), kelenjar pituitari, talamus dan hipotalamus di mana waktu yang dituntut untuk beribadah.
"Manusia yang sedar akan kepentingan tenaga alam akan menjalani pelbagai jenis meditasi seperti taichi dan qi qong untuk menyerap tenaga alam ke dalam tubuh," katanya.
Dr. Azman berkata, dari segi perubatan, bangun sekitar pukul 3 pagi membolehkan kita menyedut oksigen yang wujud di atmofera bumi hingga masuk fajar dan hanya mereka yang bangun pada waktu itu merasai nikmat oksigen.
"Seorang ilmuwan Mesir, Fadhalla Haeri berkata, saat matahari mula terbenam kira-kira jam 6.30 petang kelenjar pineal mula bekerja mengeluarkan hormon melatonin dalam jumlah besar dan mencapai puncaknya pukul 2 hingga 3 pagi. Hormon ini membentuk kekebalan pada tubuh dan solat menjadi pemangkin untuk mengekalkan melatonin menjadi stabil," katanya.

Menurutnya, sekitar jam 3 pagi juga pengeluaran hormon adrenalin meningkat menyebabkan tekanan darah meningkat walaupun sedang tidur lena. Ketika itu bekalan oksigen ke otak berkurangan menyebabkan kita berat untuk bangun tidur dan menyebabkan gangguan kepada sistem peredaran darah manusia.
Penerima Anugeral Nobel, Furchgott dan Aignarro serta Murad telah menjalankan penyelidikan tentang nitrik oksida yang dapat melebarkan salur darah dan mengelakkan darah beku.

Dr. Azman menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyamakan gerakan solat sama seperti meditasi dan yoga.
"Pertama, solat ialah ibadah yang istimewa daripada wahyu Allah manakala yoga atau meditasi ciptaan manusia. Kedua, solat dilakukan dengan susunan masa khusus. Ketiga, solat hanya untuk orang Islam. Keempat solat harus suci daripada hadas kecil dan besar. Kelima solat perlu menutup aurat. Keenam solat berjemaah adalah fardhu kifayah. Ketujuh solat perlu ke arah kiblat dan kelapan solat berbeza dengan yoga dengan adanya azan," katanya yang juga penulis buku Solat dan Sains: Menyingkap Rahsia Solat dari Perspektif Sains.

No comments:

Post a Comment