Beliau memberitahu persidangan Dewan Negara di sini bahawa kajian keselamatan oleh badan penilai antarabangsa mendapati semasa pemprosesan makanan, hampir keseluruhan benzoil peroksida bertukar kepada asid benzoik, sejenis bahan pengawet yang dibenarkan dalam pelbagai makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Aditif makanan yang dibenarkan termasuk benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan dalam jumlah tertentu oleh badan penilai antarabangsa bersama terdiri daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Pakar mengenai Aditif Makanan (JECFA),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah yang bertanya mengenai kesan penggunaan benzoil peroksida kepada kesihatan dan kaedah pemantauan terhadap penggunaan bahan itu oleh pengeluar tepung gandum.
Dr. Hilmi berkata, penggunaan Benzoil Peroksida dalam tepung gandum adalah dibenarkan, namun pada kadar tidak melebihi 60 miligram.
“Tepung gandum mempunyai pigmen karotenoid yang hadir secara semulajadi dan ia memberikan warna kekuningan kepada tepung itu.
“Benzoil peroksida, apabila ditambah, akan mengoksidakan karotenoid semulajadi dalam tepung dan menghasilkan warna putih. Peraturan 42 (2) membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai aditif makanan,” katanya.
Dr. Hilmi bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan sedia mengkaji penggunaan benzoil peroksida jika badan antarabangsa membuktikan penggunaannya dalam tepung gandum adalah berbahaya.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan sentiasa melakukan pemantauan berkala ke atas tujuh kilang tepung gandum di negara ini.