Ini kerana Pot's Industries yang beralamat di No. 29C, Jalan Skudai, Johor Bahru bukan sahaja menyajikan pelbagai masakan barat dengan harga berpatutan, malah turut menghidangkan menu dengan cita rasa tempatan.
Restoran yang beroperasi tidak jauh dari pusat bandar raya Johor Bahru itu berhadapan dengan kawasan komersial Danga Bay. Ia mula dibuka pada 16 Ogos lalu dan kini menjadi salah sebuah restoran popular di Johor Bahru.
Menyajikan lebih 30 menu makanan barat serta lebih 30 pilihan minuman, restoran ini beroperasi dari pukul 3 petang hingga 11 malam setiap hari kecuali Isnin. Antara menu yang mendapat sambutan di Pot's Industries adalah chicken breast stuffed with creamy mushroom ragout, seafood fiesta, pots beef burger, eggs benedicts, chicken wings, buffalo wings dan smoked salmon and apple salad.
Harga makanan juga tidak semahal jika dibandingkan dengan restoran lain yang menyajikan menu yang sama. Malah lebih mengujakan, restoran ini menghidangkan makanan dalam kuantiti besar yang boleh dikongsi bersama, selain memberi lebih peluang kepada pengunjung untuk menikmati menu berbeza.
Selain itu, pengunjung yang meminati dunia retro dan vintaj pasti teruja melihat hiasan dan perabot di Pot’s Industries. Ini kerana hampir kesemuanya dihasilkan daripada bahan terpakai.
Restoran yang diasaskan oleh tiga sahabat iaitu Nurizzat Abu Talip, 28, Khaleena Khalid, 33 dan Mohd. Yusry Bacok, 29, itu turut menerima sambutan baik daripada warga bandar raya ini, malah turut dikunjungi pelanggan dari Singapura.
Nurizzat yang mesra dengan panggilan Izzat berkata, restoran itu berkonsepkan gaya hidup generasi muda yang mempamerkan rekaan tersendiri.
“Kami juga menawarkan beberapa perkhidmatan lain seperti memulih dan mengubah suai motosikal, butik pakaian serta kedai peralatan luncur air.
“Makanan yang disajikan di restoran ini menggunakan bahan-bahan asas berkualiti bagi mengekalkan cita rasa yang tersendiri demi kepuasan pelanggan. Walaupun masih baharu, namun restoran ini mendapat sambutan menggalakkan khususnya dari pukul 6 petang sehingga 11 malam,” katanya yang merancang untuk menambah kapasiti restoran tersebut dalam waktu terdekat kerana kini ia hanya mampu memuatkan 60 pelanggan dalam satu masa.