Kajian oleh Southeast Asian Nutrition Surveys (SEANUTS) mengenai tahap pemakanan kanak-kanak di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam menunjukkan bahawa nutrisi yang tidak mencukupi akan menyebabkan prestasi kognitif kanak-kanak rendah.
Dr. Alvin Ng Lai Oon dari Jabatan Psikologi Universiti Sunway berkata, kanak-kanak yang tidak mendapat nutrien dengan secukupnya juga kemungkinan besar tidak mampu belajar secara aktif.
"Mereka juga mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mendapat skor bawah daripada purata IQ," kata Dr. Lai Oon dalam previu bengkel ‘Tahap Kebijaksanaan-Kebaikan Nutrisi untuk Perkembangan Bijak Si Manja’ yang akan diadakan Januari 2015.
Dr. Lai Oon yang juga Penyelidik Perkembangan Kognitif untuk kajian Seanuts berkata, hasil kajian di Malaysia menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak negara ini mengalami kekurangan nutrisi.
"Ia boleh menyebabkan tubuh yang kurus, kurang berat badan dan ketinggian yang terbantut. Mereka yang mengalami masalah nutrisi berlebihan mengakibatkan berat badan berlebihan, obes dan terlalu obes,” katanya.
Di antara keempat-empat negara berkenaan, Malaysia bernasib baik kerana berada di tahap terendah untuk kategori kurus, kurang berat badan dan ketinggian yang terbantut.
Malaysia kini mencatatkan jumlah orang obes paling tinggi di Asia Tenggara.
Kajian ke atas kanak-kanak yang berusia 6-12 tahun di negara berkenaan juga menunjukkan bahawa pengambilan nutrisi mempengaruhi keupayaan kanak-kanak untuk berfikir, memberi pendapat, memahami, mengingati perkara-perkara yang berlaku di persekitaran masing-masing.
Dalam erti kata lain, kanak-kanak belajar dan memperoleh kepintaran dan kecerdikan semasa mental mereka sedang berkembang.
Jelas Dr. Lai Oon , khasiat yang betul membantu membina otak, rangsangan daripada ibu bapa dan penjaga membantu memperkembangkan sifat ingin tahu, mahu meneroka, kreativiti dan pembelajaran.