Rupanya, cerita pemilik kafe yang baru dibuka Mei tahun ini, Fadzillah Deen, kafe yang lain dari yang lain itu merupakan kesinambungan daripada galeri milik anaknya di lot sebelahnya itu yang dipanggil Kedai.
“Setiap kali ada majlis di Kedai, kami perlu memanggil katering dan ia memakan kos yang kadang-kadang tidak munasabah dengan pilihan dan kualiti makanan.
“Lalu timbul idea untuk membuka kafe di sebelah Kedai dan konsep seperti di rumah merupakan pilihan saya dengan dekorasi yang santai dan menenangkan seperti di rumah serta pilihan makanan yang boleh saya jamin sama seperti ibu-ibu masak untuk anaknya,” ujarnya yang turut menguruskan sebuah agensi pelancongan dalam dan luar negara.
Cerita Fadzillah, Hidangan di dalam menu Kedai Sebelah juga pada mulanya lebih kepada masakan yang sering disediakan di rumah seperti sandwic dan pasta tetapi permintaan semakin bertambah untuk mereka menambah menu mereka.
Tarikan utama sebenarnya bagi Kedai Sebelah ialah harga makanannya yang `mesra rakyat’ di sebalik lokasinya di tengah-tengah bandar Kelana Jaya.
Bayangkan, di Kedai Sebelah, air sirap masih dijual dengan harga 80 sen sahaja, sama seperti harga di luar bandar dan kopi dengan the turut dijual dengan harga RM1 sahaja!
Harga paling mahal dalam menu Kedai Sebelah hanyalah RM12 iaitu Club Sandwich Cheese And Beef PAstrami, Tuna or Eggmayo yang menggunakan daging import dari New Zealand. Tegas Fadzillah, tidak perlu lokek dalam berniaga kerana dia mengamalkan konsep pelanggan dilayan seperti ahli keluarga atau tetamu sendiri.
Penulis tertarik dengan set makan tengah hari yang berharga RM8.50. Setiap set akan dihidangkan nasi dari beras Basmathi, satu jenis lauk ayam, daging atau ikan dengan cara masakan yang berubah-ubah setiap hari dan dihidang bersama sayur, buah dan air.
“Sama seperti ibu-ibu di rumah, mereka akan ke pasar pada waktu pagi dan akan memasak lauk mengikut apa yang menarik didapati dari pasar untuk anak-anak tanpa menu yang khusus. Saya terapkan konsep sedemikian di Kedai Sebelah dan ia merupakan hidangan kegemaran ramai,” ujarnya yang turut mementingkan kesegaran sesuatu bahan masakan yang hanya dibeli setiap pagi.
Bagi yang menggemari pasta, boleh memesan PAsta Aglio Olio resipi Fadzillah sendiri yang dimasak bersama miyak zaitun dan digaulkan bersama bawang putih, serbuk cili dan beberapa herba istimewa bagi membangkitkan rasanya.
Chilli Cheese Fries juga menggoda perut dengan lelehan keju mozarella yang cair di atas kentang goreng yang panas ditambah pula sos daging bolognese melengkapkan rasa dan ia amat sesuai dinikmati ketika sedang bersantai dengan rakan-rakan.
Bagi mereka yang merindui nasi goreng yang dimasak ibu di waktu pagi, boleh memesan Nasi Goreng Embah, resipi istimewa dari ibu mertua Fadzillah untuk cucu-cucnya setiap kali mereka berkumpul di kampung.
Kentang yang dipotong dadu dan digoreng terlebih dahulu sebelum ditambah dalam nasi yang digoreng bersama ikan bilis, bawang, cili api dan telur itu begitu mengenyangkan dengan harga RM4 sahaja!
Melihat dekorasi kedai pula, difahamkan ia merupakan konsep anaknya, Izat Arif, yang membuat sendiri perabot-perabot di dalamnya menggunakan kayu palet yang diimport.