Selain boleh menikmatinya di pinggir-pinggir jalan, bagi mereka yang biasa mengunjungi pasar terapung di sana, pastinya warung boat noodle menjadi pilihan untuk menjamu selera.
Tidak perlu pergi jauh sehingga ke Thailand untuk menikmatinya kerana di Dope Alley, anda boleh menikmati hidangan boat noodle yang tidak perlu diragui status halalnya kerana pemiliknya adalah seorang Muslim.
Walaupun baru beroperasi selama sebulan, restoran ini semakin dikenali dalam kalangan penduduk SS15, Subang Jaya, Selangor, kerana kepakaran mereka yang terletak pada menu makanan jalanan ala Thai yang cuba diketengahkan.
Menampilkan konsep yang agak berbeza dengan restoran Thai yang lain, menjadi sebab mengapa menjadi pilihan anak-anak muda menjamu makan malam mereka bersama teman-teman selepas habis waktu bekerja.
Baru berusia 23 tahun, pemiliknya, Muhammad Syamim Abd Rahman ternyata bijak menarik perhatian pelanggan melalui kepelbagaian menu asli jalanan dari Thailand seperti boat noodle, somtam, dan barbeku makanan laut.
Mula tertarik dengan perniagaan makanan jalanan Thai ketika masih di zaman belajarnya yang ketika itu pernah dibawa melawat ke Thailand untuk melihat cara kerja dan perniagaan masyarakat di sana memandangkan dia pelajar pentadbiran perniagaan.
“Saya lihat di warung-warung tepi jalan sentiasa dipenuhi pelanggan walaupun menu makanan yang ditawarkan sangat ringkas dan saya mula terfikir untuk membawa stail tersebut ke pasaran Malaysia.
“Tapi masa itu masih lagi belajar, kewangan pun tak kukuh lagi. Bila tamat sahaja belajar, saya membuat keputusan untuk membuka sebuah restoran dan saya bernasib baik kerana saya mengurusnya bersama rakan yang mempunyai sedikit pengalaman dalam perniagaan makanan Thailand,” katanya ketika ditemui di Dope Alley, baru-baru ini.
Bagi memenuhi konsep jalanannya, sengaja Muhammad Syamim mencari meja dan kerusi kayu seolah-olah pelanggan dapat menikmati hidangan dalam suasana hiruk-pikuk jalanan di tengah-tengah kota.
Turut membuka bahagian belakang restoran, lorong yang dahulunya gelap dimanfaatkan Syamim untuk menyediakan bahagian barbeku dan tempat makanan terbuka untuk pelanggan yang merokok.
Sementara itu, melihat keadaan dapur terbuka, pelanggan dapat melihat makanan mereka disiapkan seterusnya dapat memastikan kebersihan yang diterapkan ketika memasak.
Ketika memesan makanan, terlihat hampir kesemua meja pelanggan dipenuhi dengan mangkuk yang tersusun bertingkat-tingkat.
Bermain pelbagai persoalan bagaimana mereka mampu menghabiskan setiap mangkuk yang dipesan.
Apabila hidangan boat noodle yang dipesan sudah tiba, makanan yang dihidangkan di dalam mangkuk seramik yang kecil hanyalah memenuhi dua suapan barulah saya faham mengapa pelanggan-pelanggan lain memesan jumlah yang banyak.
Dengan harga RM1.90 setiap mangkuk, pelanggan pastinya tidak kisah mengeluarkan wang untuk menikmati hidangan negara jiran tersebut kerana harganya juga sangat murah.
Kata Syamim, mangkuk tersusun bertingkat-tingkat adalah pemandangan biasa bagi mereka yang menikmati hidangan boat noodle dan merupakan signatur setiap restoran yang menawarkan boat noodle sebagai hidangan utama.
“Tiada jumlah minimum yang perlu dipesan dan semuanya terserah kepada pelanggan. Bagi pelanggan yang baru mahu mencuba hidangan boat noodle, biasanya kami akan mencadangkan mereka memesan lima mangkuk dahulu dan kami yakin selepas itu pasti mereka mahu menambah pesanan lagi,” katanya.
Memberi dua pilihan kepada pelanggan sama ada memilih mi jernih bersama hirisan dan bebola ayam ataupun mi jernih bersama hirisan serta bebola daging, dengan empat penambah perasa seperti serbuk cili, sos bawang putih masam, sos ikan, dan gula pastinya membangkitkan selera masing-masing.
Selain boat noodle, hidangan yang wajib dicuba adalah salad betik Thai iaitu somtam yang dihidangkan bersama telur masin, kekacang, dan ketam. Bagi mereka yang gemarkan sesuatu yang pedas, somtam adalah pilihan terbaik mereka.
Menggunakan bahan-bahan asli dari Thailand, dia akan memastikan status halal dan kualiti dalam setiap bahan yang digunakan. Syamim juga mengambil kepakaran memasak dari sana untuk mengekalkan keaslian rasa.
“Kami juga menawarkan seksyen barbeku makanan laut untuk pelanggan, Hidangan sotong bakar dan kerang bakar akan disertakan dengan sos pedas yang berbeza tiap satu tetapi kedua-duanya masih mengekalkan rasa asli Thai,” katanya,
Menu minuman juga mengetengahkan rasa sebenar Thailand dan anda perlu mencuba Teh Ais kerana mereka menggunakan teh dari sana yang berlainan rasanya, Warnanya juga lebih pekat. Turut mencuba air campuran buah-buahan daripada rambutan, nenas dan asam boi, anda hanya boleh mendapatkannya di Dope Alley.
Terletak di AG-5, Jalan SS15/4D, Subang Jaya, Selangor, Dope Alley memulakan waktu perniagaannya bermula pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam.