BANNER KEMANGI
FACILITIES
Thursday, January 14, 2016
BIMBANG RUMAH DIANCAM HAKISAN
PONTIAN - Hakisan tebing tanah yang semakin teruk di kawasan tali air Lorong Yang Muhammad Kampung Rimba Terjun di sini, menimbulkan kebimbangan buat 10 keluarga yang tinggal berdekatan.
Lebih menggusarkan, apabila ada penduduk mendakwa sebahagian kawasan dapur rumah mereka juga hampir runtuh disebabkan hakisan tersebut.
Malah, keadaan kampung terbabit yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari laut itu juga menyebabkan kawasan tebing tali air berhampiran rumah penduduk mudah mengalami hakisan.
Wakil penduduk, Azmi Md Salleh, 57, berkata, dia begitu bimbang setiap kali hujan kerana tebing tali air turut alami hakisan sehingga menyebabkan sebahagian kawasan dapur rumahnya terjejas.
“Jarak rumah dengan tebing tidak sampai lima meter. Jadi, bila hujan lebat dan bertembung pula dengan air lautpasang , lebih banyak kawasan yang terhakis.
“Kejadian hakisan semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila perubahan arus laut yang semakin deras menyebabkan kerap berlaku kejadian air pasang,” katanya.
Katanya, dia juga bimbang rumah didiami sejak lebih 30 tahun itu mendap sekiranya tiada tindakan segera diambil.
“Kami sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera, tambahan pula sekarang cuaca tidak menentu.
“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, mak cik khuatir masalah lebih besar akan berlaku, sekali gus mengancam nyawa,” katanya.
Bagi Azmin Din, 38, jarak antara rumah penduduk dengan tali air semakin dekat amat membimbangkan mereka, apabila tali air bertambah dalam dan luas dari hari ke hari.
“Jika 30 tahun lalu, kawasan belakang rumah penduduk di sini dipisahkan dengan kebun tanaman seperti sayur-sayuran.
“Namun kini tiada lagi kebun tanaman, sebaliknya rumah penduduk pula yang semakin dekat dan berdepan ancaman hakisan,” katanya.
Justeru, dia meminta pihak berkenaan melakukan kerja baik pulih kawasan benteng tali air terbabit bagi mengurangkan hakisan yang semakin kerap berlaku.
Azmin berkata, dia yakin sekiranya tindakan membaik pulih hakisan itu dilakukan lebih awal, dapat menjimatkan kos berbanding dibiarkan sehingga menjadi teruk.
“Saya difahamkan kerja bina benteng batu menghalang hakisan tebing dilakukan kira-kira dua tahun lalu, bagaimanapun tidak mampu menghalang hakisan daripada terus berlaku.
“Malah, ada penduduk sudah kemukakan aduan mengenai masalah benteng berkenaan dan berharap ia dapat ditinggikan lagi kerana rumah mereka semakin hampir dengan tali air,” katanya.
Azmin berharap, masalah tersebut diambil serius oleh pihak berkenaan sebelum berlaku kejadian tidak diingini sehingga mengancam nyawa penduduk.
Labels:
LOKALITI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment