Menggunakan biji kopi yang 100 peratus Arabica dari adunan Columbia, Brazil dan Guatemala yang bertaraf dunia, para barista begitu kreatif bermain dengan espresso menghasilkan kopi dan susu kocak yang menarik seperti Iced Tamar Machiatto, gabungan kopi Machiatto dan buah Tamar dan Ice Coconut Latte, gabungan unik kelapa bersama espresso dan susu stim.

Namun, Zawara Coffee sebenarnya bukanlah sekadar kopi. Hidangan utama mereka yang berkonsepkan gourmet iaitu makanan mewah boleh dikatakan antara tarikan utama bagi kebanyakan pengunjung dek kerana kualitinya yang tinggi dengan harga yang berpatutan.
Antara makanan kegemaran pelanggan di Zawara Coffee ialah Soft Shell Crab Burger, Singapore Red Lamb Shank, Churros, Cheesy Meltz Burger dan Kacang Pool.
Bertemakan ‘Fine Coffee, Fast Gormet’, Zawara Coffee yang mula bertapak di Bukit Jelutong, Selangor itu menggunakan teknik ‘jet udara’ yang pertama seumpamanya di Malaysia yang mampu memasak dan menghasilkan makanan dalam tempoh yang singkat kerana menggunakan teknologi mampatan dan tekanan udara panas menerusi sistem berkomputer dalam setiap hidangan.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam dan Media, Zawara Sdn. Bhd., Nursyaliza Abdul Manaf, kafe dengan hiasan dalaman berkonsepkan industri dengan rekaan yang kasar dengan penggunaan besi dan kayu itu menitik-beratkan keselesaan pelanggan dan kualiti dalam setiap hidangan.
“Idea membuka Zawara Coffee datang daripada Encik Kamarul yang merupakan bekas juruterbang. Pengalaman menjelajah seluruh pelosok dunia sambil memerhati trend dan konsep restoran yang mendapat sambutan di sana menjadi ilham untuk dia membuka sebuah restoran di Malaysia bersama adiknya.
“Namun atas kengkangan modal ketika itu, mereka berdua memendam sebentar hasrat mereka dengan menumpukan perhatian terhadap butik Zawara dan dalam masa yang sama membuat kajian yang mendalam konsep dan sistem restoran yang ingin dibuka kerana kedua-dua mereka amat mementingkan kualiti,” ujar Nursyaliza ketika ditemui di Zawara Coffee, Bukit Jelutong, baru-baru ini.

Menggabungkan resipi tradisional tempatan dengan Barat, hidangan di Zawara Coffee boleh dikatakan unik dan tersendiri. Antara yang digemari penulis ialah Soft Shell Crab Burger kerana siapa sangka seekor ketam boleh dijadikan isi burger!
Menggunakan ketam nipah muda yang kulitnya masih lembut, ia dicelup dengan bancuhan rempah bersama telur sebelum digoreng dengan api kecil. Isi ketam yang tebal dan manis diapit pula dengan roti burger yang dibuat sendiri, Soft Shell Crab Burger merupakan hidangan wajib dicuba di sini.
Singapore Red Lamb Shank juga pasti membuatkan anda mahu kunjung kembali ke Zawara Coffee. Sosnya yang masam dan pedas dimasak terlebih dahulu yang mana bawang putih, halia, sos tomato, serbuk cili, serbuk ketumbar, serbuk kari, daun ketumbar dan stok daging merupakan antara bahan-bahannya.
Sos yang telah reneh itu dituang ke atas paha bebiri dan dimasak secara perlahan selama dua hingga tiga jam sehingga daging benar-benar lembut. Nikmati hidangan istimewa ini bersama Toasted Cranberry Walnut Bread, roti yang ditambah kranberi dan walnut yang dibuat sendiri di dapur Zawara Coffee.

Bagi penggemar pasta, nikmati Spaghetti Thai Beef, gabungan bahan-bahan tomyam seperti serai dan limau purut yang ditumis bersama daging cincang dan dihidang bersama salad arugula yang tinggi khasiatnya.
Bagi mereka yang mahu santai di waktu petang bersama teman, wajib untuk memesan hidangan Churros yang didatangi dengan empat jenis iaitu coklat, karamel, butterscotch dan ais krim. Rasa adunan Churros itu sahaja sungguh menyelerakan dengan rasa sedikit masin, manis dan kayu manis yang pastinya membuatkan anda ketagih untuk merasainya lagi.
Bagi penggemar kepak ayam, apa kata anda mencuba Salted Egg Chicken Wing. menggunakan telur masin yang dicampur bersama tepung dan bahan-bahan rahsia lain, ia sungguh berbeza berbanding hidangan kepak ayam yang pernah anda rasai.
Zawara Coffee yang semakin mendapat sambutan ramai kini mempunyai cawangan di Bangi serta tiga buah francais iaitu di Setapak, Cyberjaya dan Taman Tun Dr. Ismail dan bakal membuka dua buah francais lagi dalam masa terdekat iaitu Putrajaya dan Setia Alam.