“Saya nak awak berdua rasa nasi beriani kambing sebab menu ini yang digemari di sini,” katanya sambil meletakkan pinggan berisi nasi beriani di meja kami.
Hanya dengan sudu dan garpu plastik, dengan mudah daging kambing terlerai daripada tulang. Memang lembut. Ditambah dengan ramuan rempah-ratus yang sebati dengan kuah secukup rasa.
Setiap pagi bermula jam 7 pagi, FoodTrucKita Kandar Kaw akan berada di belakang bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhampiran KL Sentral. Bagaimanapun untuk sarapan, Syahril berkata, mereka hanya menyediakan makanan bungkus sahaja.
“Kami sediakan makanan bungkus kerana masa itu agak sibuk dengan pekerja masuk pejabat tentu tidak sempat untuk makan,” katanya yang mengusahakan perniagaan makanan dengan rakan kongsi Shuhib Ghazali.
Kira-kira jam 11 pagi, sebuah van yang bertindak sebagai runner berhenti di berhampiran FoodTrucKita Kandar Kaw menurunkan makanan yang telah siap dimasak di dapur berpusat di Damansara.
Menurut Syahril, biasanya semua makanan dimasak sekitar pukul 9.00 pagi bagi memastikan makanan yang sampai masih panas semasa dihidangkan kepada pelanggan yang mula datang sekitar pukul 12.00 tengahari.
“Di sini pelanggan boleh memilih pelbagai menu yang bertukar setiap hari seperti kari ikan, ayam masala, ayam masak kicap, kambing masala, acar sayuran dan paling istimewa nasi beriani ayam dan beriani kambing yang menjadi menu kegemaran di sini.
“Saya akan memastikan makanan yang dihidangkan mencukupi, jika tidak cukup kami akan menghubungi dapur berpusat untuk menyediakan makanan dan van runner mengangkut makanan.
“Tetapi biasanya selepas pukul 2.00 petang nasi sudah habis, disambung dengan menu minum petang sehingga pukul 4.30 petang,” katanya.
Walaupun baru sebulan menapak, FoodTrucKita Kandar Kaw telah mempunyai pelanggan setia yang terdiri bukan sahaja daripada masyarakat Melayu, tetapi juga Cina dan India yang menggemari nasi beriani.
Syahril berkata, beliau amat berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Fenner yang bukan saja memberikan galakan dan tapak untuk memulakan perniagaan makanan tetapi peluang bekerjasama dengan pihak Koperasi SSM. Buat masa ini Syahril menggunakan facebook peribadi dan sokongan kawan-kawan sebagai kaedah pemasaran.
“Trak makanan hanya beroperasi hari Isnin hingga Jumaat manakala pada hujung minggu diluangkan untuk menerima tempahan katering dari sekitar Lembah Klang dan Selangor,” kata bekas wartawan media cetak dan elektronik ini.