Memenuhi selera sesiapa sahaja yang ingin menikmati sajian Barat dan masakan kampung, restoran ini pastinya membuatkan anda ingin ‘kembali’ untuk merasai menu-menu yang lain.
Tidak keterlaluan rasanya memuji setiap masakan yang disediakan oleh pemilik Nick’s Kitchen Studio, Nik Badrul Hisham Nik Mustapha, 32, kerana walaupun sajian yang disediakan merupakan masakan Barat yang biasa terdapat di mana-mana restoran bertemakan masakan tersebut, tetapi ia amat berbeza.
Biarpun cuba menampilkan kelainan untuk disesuaikan dengan cita rasa masyarakat setempat, setiap masakan daripada air tangan Nik Badrul tetap mempunyai keenakan tersendiri.
Menurut Nik Badrul, dia memilih untuk membuka restoran berkonsepkan masakan Barat kerana begitu gemar menikmati sajian tersebut.
Pada masa yang sama, dia juga gemar memasak pelbagai jenis masakan Barat untuk memahirkan lagi dirinya dalam bidang masakan.
Apa yang menarik mengenai Nik Badrul untuk diperkatakan, ialah dia bukanlah seorang individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang masakan tetapi disebabkan minat yang terlalu mendalam dalam bidang tersebut membuatkan dirinya bersungguh-sungguh mempelajari selok belok mengenai bidang tersebut.
“Terus terang saya katakan, saya merupakan seorang pelajar jurusan perhotelan dan bidang masakan ini merupakan satu bidang yang sama sekali jauh tersasar daripada apa yang dipelajari di kolej sebelum ini.
“Begitu pun, disebabkan minat yang terlalu mendalam membuatkan saya sanggup mempelajarinya sedikit demi sedikit hinggalah berjaya membuka Nick’s Kitchen Studio.
“Yang pasti, apa jua menu yang disediakan di sini semuanya akan dimasak oleh saya sendiri dan pada masa yang sama saya memberikan sedikit kelainan dalam setiap masakan untuk membezakan restoran saya dengan restoran-restoran masakan Barat yang lain,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di 59, Jalan Ramin 2, Botanic Business Gateway, Bandar Botanik, Klang, Selangor.
Setiap sajian yang dihidangkan sememangnya dilihat segar dan untuk itu Nik Badrul menjelaskan dia akan membeli bahan-bahan mentah setiap hari untuk menjamin kesegarannya.
Selain itu, Nik Badrul juga memberitahu, setiap sajian hanya akan dimasak selepas menerima tempahan daripada pelanggan dan sudah pasti ia dihidangkan terus daripada dapur.
Dibantu oleh ibu, makcik, dan pakciknya, Nik Badrul berkata perniagaan yang diusahakannya itu merupakan satu perniagaan keluarga di mana kesemua ahli keluarganya membantu dan memberi sokongan dalam usaha menjayakan lagi perniagaan tersebut.
“Saya pernah mempunyai pekerja-pekerja lain sebelum ini tetapi semuanya tidak bertahan lama kerana masing-masing hanya mementingkan wang daripada kualiti makanan yang disediakan.
“Sebelum saya menerima rungutan daripada pelanggan, lebih baik saya buat keputusan yang pastinya tidak merugikan mana-mana pihak.
“Dan saya bernasib baik kerana ahli keluarga yang lain sudi menghulurkan bantuan untuk membantu saya di sini dan buat masa sekarang sayalah tukang masaknya,” tuturnya lanjut.
Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan menu di restorannya itu, ulas Nik Badrul menu akan bertukar setiap hari melainkan yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggan seperti nasi GST, pai ayam, fish and chip, cendawan quiche, chicken chop, dan herb crusted grill lamb chop.
Dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, Nick’s Kitchen Studio boleh memuatkan seramai 60 orang pada satu-satu masa.
Turut mengambil tempahan katering, Nik Badrul berkata dia menerima apa jua menu yang diminta oleh pelanggan dan tidak terhad hanya kepada masakan Barat sahaja.
Jadi kepada mereka di luar sana yang masih tercari-cari restoran untuk menikmati sajian bersama keluarga, apa kata anda kunjungi Nick’s Kitchen Studio.