Pasti ramai juga yang tertanya-tanya menu istimewa yang dijual sehingga membuatkan pelanggan sanggup bersabar dan tidak beralih ke premis makanan lain.
Kedai Nasi JJ tidak menyediakan menu istimewa atau pelbagai aneka hidangan seperti kebanyakan restoran lain yang sering mendapat perhatian.
HIdangan yang dijual adalah menu yang kini menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat di Lembah Klang iaitu Nasi Kak Wok.
Nasi Kak Wok ialah nasi putih berlaukkan gulai ayam, ayam goreng dipotong kecil dan sambal yang dimakan beralaskan kertas, bukannya pinggan.
Apa yang membuat kedai tersebut menjadi tumpuan ialah rasanya yang enak dan unik terutama sambal.
Harga serendah RM5 sebungkus merupakan nilai yang sukar diperolehi di Lembah Klang, sekali gus menjadikannya menu pilihan orang ramai.
Pemilik restoran, Rosliza Junoh, 36, berkata, Nasi Kak Wok yang turut dikenali sebagai nasi ekspres menjadi popular kerana ringkas, murah dan sedap.
Menurutnya, sajian itu asalnya bermula daripada Mek Wok Hassan atau Kak Wok yang menyajikan hidangan tersebut di Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan, kira-kira 35 tahun dahulu.
Mengulas lanjut, Rosliza memberitahu, kedai makan tersebut diusahakan bersama suaminya sejak dua tahun lalu dan merupakan cawangan kepada restoran milik ibunya di Kota Bharu.
Jelasnya, kesemua makanan di kedainya itu juga dimasak sendiri kerana ia adalah amanat ibunya untuk menjaga resipi keluarga mereka.
“Bagi memastikan makanan yang dihidangkan sentiasa dalam keadaan panas, saya akan masak dalam kuantiti yang kecil dan bagi saya apa yang penting, kita kena ikhlas dengan pelanggan dan setiap sajian perlu dimasak dengan terbaik serta tidak kedekut,” ujarnya.
Kedai Nasi JJ terletak di No. 50, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, di sini selain sebuah lagicawangan iaitu di Seksyen 24 di sini.