“Individu yang banyak membantu saya dalam memahami dan mempelajari bagaimana sesuatu hidangan disediakan ialah Indok Chichuk Daeng Hadadek atau mesra dipanggil ibu. Wanita berusia 66 tahun itu tidak lokek berkongsi rahsia masakan,” jelas Shahrim sewaktu majlis mempromosikan sajian Bugis di UPM baru-baru ini.Tambah anak kelahiran Tengkera, Melaka itu, masakan Bugis sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri. Namun, ia jarang ditemui di restoran dan kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Keistimewaan masakan ini terletak pada bahan-bahan yang digunakan, cara penyediaan dan nama makanannya yang unik. Gohu, tumpi-tumpi, nasi ulam, urang nasu gore kaluku, nasu likkuk, barongko, sorbet dan bubuk delima Bugis antara menu yang terdapat dalam buku saya ini.“Saya mengambil masa selama satu tahun setengah untuk menyiapkan buku ini dengan dibantu oleh pelajar saya, Nor Syahidah Ismail,” ujarnya.
Buku tersebut boleh didapati di semua pengedar kedai buku terkenal pada harga RM26.00 dan mengandungi lebih 60 sajian masakan Bugis serta mempunyai lima bahagian iaitu pembuka selera, istimewa, lauk-pauk, pencuci mulut dan kuih-muih.Buku tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim pada 28 April lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment