BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, January 1, 2014

SELAMAT DATANG 2014


SELAMAT datang 2014, selamat berlalu 2013. Banyak suka duka dilalui sepanjang tahun lalu. Hari demi hari, minggu bertemu minggu, bulan berganti bulan, sedar atau tidak, tirai 2013 sudahpun berlabuh empat hari yang lalu.
Apa yang tinggal adalah perkara yang baik sewajarnya kita jadikan pedoman, yang buruk kita bina sempadan. Kita putar kembali hari pertama pada tahun 2013. 1 Januari 2013 jatuh pada hari Selasa. Semangat berkobar kita menanam azam. Kita merancang sebaik mungkin perjalanan sepanjang menjalani kehidupan selama 365 hari pada tahun lalu. Banyak impian dan cita-cita yang hendak dicapai.
Banyak juga harapan dan impian yang kita semai sepanjang mengharungi tahun tersebut. Ada yang berhasrat untuk memiliki kereta besar dan rumah besar. Ada yang ingin mengembalikan bentuk badan yang ramping. Ada yang menyimpan niat untuk ke tanah suci Mekah.

Bermacam-macam azam kita dengar kala menjelang tahun baru pada setiap tahun. Di saat-saat akhir sebelum 2013 berlalu, kita audit dan semak semula perkara yang sudah dilaksanakan dan yang masih belum diselesaikan.
Adakah azam 2013 yang masih belum tercapai adalah azam tahun-tahun sebelum ini?. Sekiranya sudah berjaya dan terlaksana, kita ingatkan diri kita betapa berat dan kuatnya usaha kita untuk mencapai azam tersebut. Jikalau masih belum sempurna dan terlaksana, kita semak di mana yang kurang dan silapnya.
Ada kala azam yang lama masih boleh diteruskan walaupun tahun sudah berubah angka. Ingat, tiada sempadan dalam melakukan perkara yang baik, tambahan pula dalam usaha memajukan diri sendiri.
Segelintir orang menganggap perihal azam tahun baru ini perkara lapuk dan tidak memberi impak. Namun daripada sudut pandangan positif, azam tersebut mampu memberi inspirasi dan kekuatan untuk seseorang melaksanakan sesuatu perkara.
Buat yang kuat berazam, teruskan usaha ini. Tidak menjadi satu kesalahan untuk menyimpan azam. Jangan mudah berputus asa dengan kritikan-kritikan daripada rakan mahupun teman maya. Usaha dan keluar dari kotak. Kita perlu luaskan dan anjak pemikiran kita.
Selamat menanam azam untuk tahun baru 2014 dan selamat memperkasakan azam yang setiap tahun kita impikan menjadi realiti. Semoga tahun 2014 memberi sinar cahaya dan kejayaan yang cemerlang untuk seluruh rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment