Begitu juga dengan Gaffe&Co yang terletak di The Garage, Jalan Hulu Kelang, Kuala Lumpur. Berkonsepkan ‘family dining’, kafe yang dibina daripada kontena ini mempunyai ruang yang lebih santai dan tenang untuk mereka yang mahu lepak bersama keluarga atau rakan.
Ditambah dengan hiasan dinding yang vintaj seperti televisyen, radio dan topi menambahkan lagi keunikan kafe berkenaan. Perabot dan beberapa perhiasan lain yang diperbuat daripada barangan terpakai juga menjadi perhatian pengunjung.
Menurut pemiliknya, Tengku Azman Tengku Chik, 42, kafenya menawarkan pelbagai menu istimewa terutamanya makanan barat bermula dengan sarapan sehinggalah menu utama.
“Antara menu yang paling digemari pelanggan ialah Gaffe BBQ Glaze Shortribs, Smoked BBQ Salmon with Potato Cake dan Grilled Unique Meltique Beef with Roasted Potato.
“Selain itu, Pizza Supreme yang ditabur dengan hirisan sosej, cendawan, cili benggala, terung dan paperoni juga menjadi kegilaan penggemar makanan yang berasal dari Itali ini,” katanya kepada S2.
Berbeza dengan kafe-kafe lain, Gaffe&Co menghidangkan pelbagai jenis kopi dan teh iaitu espresso americano, caramel machiato, toffe nut latte, flat white, green tea latte, english breakfast tea, earl grey dan macam-macam lagi.
Aneka frappe, smoothies, milk shake, soda, minuman coklat dan franilla iaitu ice-blended vanila tanpa kopi turut disediakan di kafe tersebut.
Jika mahu menambahkan kelazatan ketika menikmati minuman, pencuci mulut puding cheesy creamy dengan perisa blueberry, epal dan mentega kacang adalah pilihan terbaik.
Kafe ini beroperasi setiap hari pada pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi, manakala Sabtu dan Ahad pada pukul 9 pagi hingga 1 pagi. Selain kafe, terdapat pelbagai kedai di The Garage, antaranya kedai pakaian wanita dan kanak-kanak, barangan Star Wars, perkhidmatan mencuci kasut dan pelbagai lagi.