Itulah keistimewaan Lpizz Pizza. Bukan sahaja wangi, tetapi tekstur rotinya yang lembut dengan lapan jenis pilihan menu antaranya ayam lada hitam, ayan BBQ, ayam cendawan, hirisan ayam, cendawan, makanan laut dan daging segar, pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja yang melihat.
Piza keluaran syarikat bumiputera, MFZ Maju Bersatu Sdn. Bhd., itu telah beroperasi di lot kedai berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Bermula dengan modal RM22,000 dan beroperasi di sebuah gerai di pasar malam di Batang Kali, Lpizz Pizza yang diusahakan bersama Koperasi Bersatu Ilmuan Selangor Berhad, berkembang sehingga mempunyai enam buah gerai yang beroperasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur hanya beberapa bulan kemudian.
Diterajui oleh Mohd. Feroz Zainal selaku pengarah urusan syarikat, Lpizz Pizza semakin dikenal apabila mula mendapat permintaan memberangsangkan daripada pelanggan dengan nilai jualan mencecah RM600,000 setahun.
Pengalaman selama 21 tahun sebagai chef di sebuah hotel terkemuka negara, membekalkan ilmu dapur yang sangat berguna kepada Mohd. Feroz dalam menghasilkan doh piza yang lembut dan sedap, malah kelembutan roti piza itu mampu bertahan selama tiga hari berbanding piza lain di pasaran.
Menurutnya, dia memilih untuk mengkomersialkan piza sebagai konsep perniagaan kerana proses membuat makanan berkenaan lebih mudah selain bahan mentah yang tidak banyak perlu difokuskan, malah merupakan makanan yang dinikmati seluruh dunia.
Jelasnya, apa yang istimewa pada Lpizz Pizza adalah rahsia kelembutan dohnya, selain harga yang dijual juga berpatutan kepada pelanggan serta penggunaan bahan-bahan yang dijamin halal.
“Resipi roti ini diadun dengan resipi saya sendiri selain bahan-bahan mentah yang kita peroleh juga segar dan melalui pembekal yang halal.
“Selain mementingkan kualiti bahan-bahan yang digunakan, menu yang kita perkenalkan juga mengikut sunah makanan yang disarankan Islam seperti makanan laut tidak boleh dicampurkan dengan daging kerana tidak elok untuk proses penghadaman.
“Lpizz Pizza juga bukan sekadar perniagaan berkonsepkan keuntungan sahaja, tetapi melalui perniagaan ini kita juga membantu mana-mana individu yang mahu memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai produk dan modal yang besar,” katanya yang ditemui pada program Media Discovery anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di kedainya di Serendah, baru-baru ini.
Hadir sama pada program separuh hari berbentuk lawatan bersama media itu ialah Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudi.
Dalam pada itu, hanya beberapa tahun beroperasi, Mohd. Feroz melangkah setapak lagi apabila bakal menjadikan Lpizz Pizza sebagai sebuah perniagaan francais.
Pada Oktober 2013 syarikat itu memohon sebagai peserta Program Business in Tranformation (BIT) yang diperkenalkan PNS.
Syed Kamarulzaman berkata, Program BIT merupakan program tranformasi perniagaan untuk usahawan kecil menjadi lebih kompetatif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan agar dapat menjana lebih keuntungan.
Katanya, di bawah program ini, peserta yang terlibat akan diberi latihan keusahawanan, bantuan kewangan serta pembiayaan sehingga RM500,000 untuk pra-francisor manakala RM25,000 untuk pra-francaisi.
Sementara itu, bakal mempunyai francais sendiri hujung tahun ini, Lpizz Pizza berjaya meraih hasil jualan yang mencecah RM1 juta setahun ketika ini dengan sasaran nilai jualan RM2.5 juta tahun depan.
Berhasrat mahu Lpizz Pizza maju lebih jauh, Mohd. Feroz bakal memperkenalkan konsep kiosk bergerak (mobile ) dengan sasaran 10 buah Lpizz Pizza diwujudkan pada tahun depan dan 42 francaisi di seluruh negara.
“Kami menawarkan pakej francais yang mampu milik dengan kemudahan meja lipat mudah alih, peti sejuk, set ketuhar, set battpack serta khemah spatula, botol sos dan lain-lain,” jelasnya.
Setiap perniagaan pasti ada cabaran. Menurut Mohd. Feroz, sudah pasti cabaran yang dihadapi oleh usahawan tempatan dalam perniagaan berasaskan makanan Barat adalah persaingan produk yang sama yang jauh lebih popular dan wujud daripada mereka.
Pun begitu jelasnya, dia tidak takut, malah keadaan itu memberinya lebih semangat untuk menghasilkan kualiti piza yang lebih baik dan menepati selera pelanggan.
“Berkecimpung dalam perniagaan membuat makanan pastinya masalah kewangan adalah cabaran biasa dan pada saya pengurusan kewangan adalah sangat penting selain kualiti piza yang dihasilkan juga perlu lebih baik.
“Bercakap soal saingan memang banyak tetapi saya tidak takut kerana saya percaya selain menawarkan piza yang sedap dan lembut, Lpizz Piza juga merupakan satu cabang pekerjaan yang dapat membantu mereka yang mahu mempunyai perniagaan dengan modal yang rendah.
“Saya yakin dengan konsep yang kita tawarkan ini mampu mengekalkan Lpizz Piza di pasaran setanding dengan piza yang telah popular,” katanya.