Hidangan seumpama itu sememangnya mudah didapati di mana-mana sahaja sama ada di gerai jalanan mahupun di restoran makanan segera. Namun, pernahkah anda merasa burger sarang? Walaupun bunyinya kedengaran agak pelik, namun ia mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Menampilkan telur goreng ‘bersarang’ sebagai satu kelainan serta menggunakan isi ayam sebenar (bukan isi ayam yang diproses di kilang) membuatkan burger sarang hasil cetusan idea pemilik kafe Foodlab cepat memikat selera para penggemarnya.
Lebih istimewa lagi apabila burger tersebut mampu dinikmati dengan bayaran hanya RM5 bagi setiap hidangan.
Pemilik Foodlab, Saidatul Emma Ahmad Tohar, 24, berkata, menu istimewa itu tercetus selepas dia melihat sambutan orang ramai terhadap hidangan yang menggunakan konsep sama iaitu telur goreng bersarang.
Bertitik-tolak daripada itu katanya, dia bersama-sama dua chef di kafe tersebut mula memikirkan menu baharu yang segar dan menyelerakan dengan menggabungkan menu kegemaran masyarakat hari ini.
“Kita biasanya dihidangkan dengan burger biasa sehingga kadangkala timbul juga perasaan bosan. Oleh itu, kami cuba membawa kelainan dengan memberi pilihan lain kepada penggemar burger.
“Walaupun agak janggal, namun burger sarang cepat menangkap hati penggemarnya. Lebih menarik lagi apabila kami turut menggunakan sos hasil ramuan istimewa yang eksklusif daripada chef di kafe ini,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Mengulas mengenai pembukaan Foodlab yang merupakan kafe santai terbaharu di Ipoh, Perak, Saidatul Emma berkata, kafe itu dibuka pada 8 Ogos lalu dan menerima sambutan menggalakkan, bukan sahaja dalam kalangan pelanggan sekitar bandar raya itu malah pihak luar.
Katanya, kafe yang boleh memuatkan 20 pelanggan pada satu-satu masa itu juga menyediakan menu makanan Barat lain pada harga yang sangat murah iaitu bermula RM5 dan minuman pula, RM3.
“Saya seorang penggemar makanan dan apabila pergi ke kedai-kedai makan, saya sering berasa kecewa dengan hidangan yang ‘biasa-biasa’ sahaja, sedangkan bayaran yang dikenakan agak mahal.
“Sebab itu, saya membuka Foodlab. Ini kerana saya mahu pengunjung yang datang ke kafe ini berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan dan gembira dengan apa yang dibayar kerana harga makanan di kafe ini agak murah,” katanya.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Saidatul Emma berkata, sambutan amat baik sehingga ada pelanggan sanggup memandu jauh dari Kuala Lumpur semata-mata mahu singgah makan di kafenya.
Malah katanya, ekoran ruang yang terhad, ada pelanggan yang sanggup menunggu giliran bagi membolehkan mereka dapat duduk untuk menikmati hidangan.
“Disebabkan sambutan yang baik dan untuk keselesaan pelanggan, kami dalam perancangan membuka restoran baharu agar lebih ramai pelanggan dapat dimuatkan dalam satu-satu masa,” katanya.
Selain burger sarang, Foodlab turut menyediakan menu lain termasuk chicken chop, spageti carbonara dan aglio olio, chicken wrap dan meatball.