Semua sangkaan meleset kerana harga makanannya amat berpatutan bermula dengan RM20 hingga RM50 dengan daging untuk stik diimport khas dari New Zealand dan Australia dari gred terbaik. Malah kuantiti makanan yang dihidangkan agak banyak dan boleh dibawa pulang jika tidak habis.
Restoran yang dimiliki oleh lima rakan sebaya yang kenal sejak sekolah - Kamarulzaman Mohd Nasir, Shahruny Mohd Akil, Dr. Miszua Anuar Abd Hadi, Azhar Abu Hadzim dan Dr. Mior Safuan Meor Yaacob - mementingkan bukan saja keselesaan malah kepuasan pelanggan yang datang menjamu selera di restoran berkenaan.
Menurut Kamarulzaman, restoran yang dibuka sejak Februari tahun ini telah mempunyai pelanggan tetap yang menggemari stik dan hidangan Barat yang bukan saja enak tetapi juga halal dan bersih.
“Pelanggan boleh memesan stik ribeye fries and vegetable, lamb shank, seafood platter, spageti seafood oglio olio, nachos atau untuk kanak-kanak ada hidangan kid burger with smiling potato.
“Jika pelanggan datang waktu petang dan inginkan makanan lebih ringan, kami menawarkan set minum petang dengan harga bermula RM20 untuk dua orang dihidangkan dengan minuman panas,” kata Kamarulzaman semasa ditemui di restorannya.
Selain itu pelanggan juga boleh memesan piza four season, almanzo atau sayuran. Restoran Sixty9 menggunakan kaedah memasak piza seakan-akan di Itali dengan kombinasi memasak menggunakan gas dan kayu api bagi mendapatkan rasa yang unik.
“Semua ini hasil air tangan chef yang berpengalaman bekerja di hotel lima bintang dan banyak memberikan pendapat dan pandangan mengenai menu dan makanan di restoran ini,” katanya.
Makanan yang menyelerakan tidak lengkap tanpa minuman yang enak. Di Sixty9, terdapat pelbagai pilihan minuman detox bagi mereka yang mementingkan kesihatan. Selain itu pelanggan juga boleh memesan teh tarik, jus buah-buahan atau smoothie.
Kamarulzaman berkata, restoran Sixty9 yang boleh menempatkan 125 pelanggan dalam satu-satu masa juga menerima pelbagai tempahan bagi majlis korporat atau persendirian dengan pelbagai menu yang boleh dipilih dengan harga berpatutan.
“Di sini, kami memberikan pelanggan yang membuat tempahan pilihan harga dan menu yang mereka kehendaki kerana semua roti dan sos dibuat sendiri. Jadi kami boleh menyediakan kuantiti hidangan lebih kecil bagi membolehkan tetamu yang datang merasai semua menu yang dihidangkan,” katanya.