Walaupun demikian, sejak dibuka Oktober tahun lalu, Kafe Pulau Indah telah mempunyai pelanggan tetapnya, sendiri bukan saja sekitar Bandar Armada Putra tetapi juga dari kawasan berhampiran seperti Banting, Putrajaya malah Rawang.
Terperanjat melihat menu yang tiba. Semangkuk mi bandung special dengan dua ekor ketam dan dua ekor udang sederhana besar memang membangkitkan selera. Kemudian tiba pula kuetiaw tomyam dengan dua ekor ketam, dua ekor udang ditambah dengan makanan laut seperti kupang dan sotong.Nasi goreng pattaya special juga ditambah dengan ketam dan udang serta dicurahkan kuah yang lazat.
Dan tidak lupa dengan menu istimewa, nasi ayam ibu yang mula diperkenalkan oleh Ropiah Aziz semasa mula-mula berniaga warung di Pangsapuri Sri Bayu Bandar Armada Putra, Pulau Indah. Ditambah dengan minuman laicikang, epal asam boi serta bandung soda laici.
Pengalaman
Berpengalaman bekerja di kedai makan selepas tamat sekolah dan perasaan ingin belajar menyebabkan Ropiah mencuba dan mempelbagaikan resipi yang dilihat daripada majikannya sebelum ini.
Ropiah yang amat mementingkan kualiti masakannya, akan ke pasar setiap hari bagi mendapatkan bekalan bahan mentah yang segar bukan saja ikan, udang, ketam, daging dan ayam tetapi juga sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Saya tidak berminat untuk mengambil bahan mentah daripada pembekal kerana saya tidak boleh memilih,” katanya yang dibantu oleh suami, anak serta ahli keluarga lain dalam mengendalikan restorannya.
Buat masa ini anaknya Nurul Azuwana, 24, graduan bidang kulinari dari UNITAR banyak membantu keluarga dalam perniagaan makanan sejak berusia belasan tahun.
Restoran yang dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam menyediakan menu masakan panas Melayu dan Siam serta sering menerima tempahan makanan daripada syarikat di sekitar Pulau Indah bagi majlis mereka.
Berita baik untuk kaki pancing yang gemar ke Pulau Indah kerana Ropiah sedia menerima tempahan memasak ikan, udang atau ketam dengan harga yang berpatutan.
Bagi mengelakkan pelanggan kecewa, Ropiah menggalakkan pelanggan membuat tempahan terlebih dahulu sebelum datang kerana restorannya hanya memuatkan 50 pelanggan pada satu-satu masa.